fbpx

Mangsa kes tembak Sibu ada rekod jenayah lampau

KUCHING: Tiga mangsa kes tembakan di sebuah kedai kopi di Sibu petang semalam serta dua lagi rakan mereka yang selamat dikenal pasti mempunyai rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata semakan mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau yang disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Satu pasukan khas dibentuk bagi mengenal pasti motif kejadian tembakan itu di sebuah kedai kopi di Jalan Wong King Huo.

Menurutnya, identiti kedua-dua penyerang masih belum dikenal pasti dan gerakan mengesan mereka kini diperhebatkan.

Zulkipli berkata, siasatan awal mendapati dua suspek lelaki datang ke kedai berkenaan dengan menunggang dua motosikal pada jam 4.55 petang.

“Seorang daripada suspek kemudian menuju ke arah mangsa yang sedang minum di kedai berkenaan lalu melepaskan tembakan.

“Seorang lagi suspek yang berada kira-kira 20 meter di luar kedai turut melepaskan tembakan sebelum melarikan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, hari ini.

Zulkipli berkata, siasatan di lokasi kejadian itu menemui 10 kelongsong peluru kaliber 9mm.

Ketiga-tiga mangsa yang cedera dalam kejadian tersebut berumur antara 27 hingga 33 tahun.

“Terdapat tiga kesan tembakan di badan mangsa pertama iaitu di paha kiri, paha kanan dan kaki kanannya manakala mangsa kedua di bahu kiri.

“Mangsa ketiga pula cedera di bahu sebelah kanan dan semua mangsa masih dirawat di pusat perubatan swasta dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Menurutnya lagi, tiga lagi rakan mangsa yang turut berada di kedai terbabit tidak cedera.

Zulkipli berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan polis belum mengenal pasti motif kejadian.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga boleh mencetuskan kegusaran awam.

“Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mingat Bakil di talian 019-8867978 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts