fbpx

Kes suami isteri ditemukan meninggal dunia di rumah, polis tunggu laporan kimia

SEREMBAN: Polis sedang menunggu laporan makmal kimia berhubung punca kematian doktor gigi dan suaminya yang juga warga asing ditemukan mati di rumah mereka di kondominium Jalan Keliling di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata hasil bedah siasat yang dijalankan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), mendapati keputusannya masih belum dipastikan.

“Bedah siasat sudah dijalankan di HTJ pagi tadi dan mendapati keputusannya ‘undetermined’, ia memerlukan analisis lanjut di makmal kimia sebelum mendapat keputusan.

“Buat masa ini, polis masih mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR) berdasarkan siasatan di tempat kejadian dan pemeriksaan pada tubuh badan kedua-dua mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, polis menerima maklumat mengenai kematian wanita berusia 31 tahun dan suaminya berusia 34 tahun itu pada jam 12.49 tengah hari.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua mereka adalah suami isteri yang mana lelaki terbabit berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah antarabangsa di Port Dickson, manakala isterinya doktor di sebuah klinik pergigian di Linggi.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh hubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Adi Khusaini Saripudin di talian 012-770 7282 atau Ibu Pejabat Daerah Seremban di 06- 6033 222.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan waris mangsa tidak berjaya apabila mereka tidak kelihatan di sekitar Jabatan Perubatan Forensik HTJ.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts