Tawau: Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol membenarkan bantahan dikemukakan pihak pendakwaan terhadap terhadap dokumen iaitu dua laporan polis yang dikatakan dibuat keluarga tertuduh dan tertuduh dalam kes bunuh pemandu e-hailing pada 13 Januari tahun lalu.
Laporan polis itu antara lain menyatakan tertuduh didesak untuk mengaku terbabit dalam pembunuhan kes yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Tawau ketika ini.
Dokumen itu dikemukakan dan disebut peguam bela Abdul Gani Zelika yang mewakili salah seorang tertuduh iaitu Rosdi Rostam, 44, ketika pemeriksaan balas terhadap saksi ke-11, Inspektor D7A, Inspektor Amir Aiman Abu.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohammad Fakhrurrazi Ahmad berkata, bantahan dibuat kerana ‘laporan polis’ itu tidak dapat dibuktikan apabila tiada tanda tangan atau nama pengadu.
“Ia hanya sehelai kertas yang tidak diketahui siapa membuatnya (laporan) dan sama ada versi laporan ini adalah benar serta tidak diketahui sama ada isi kandungannya adalah benar.
“Selain itu, salinan laporan polis yang sudah dikemukakan adalah Tawau/010240/23 dan bukannya salinan yang disahkan (CTC),” katanya sambil menjelaskan salinan dokumen itu tidak boleh digunakan untuk tuntutan atau perbicaraan di mahkamah.
Bagaimanapun, Mohammad Fakhrurrazi menyatakan pihaknya tiada bantahan terhadap satu lagi salinan laporan polis dikemukakan Abdul Gani kerana mempunyai nama dan tanda tangan pengadu.
Terdahulu, Amir Aiman ketika disoal Abdul Gani menyatakan dia tidak pernah membaca atau melihat laporan-laporan polis terbabit yang dikatakan dibuat keluarga tertuduh dan tertuduh.
Ketika pemeriksaan semula oleh Fakhrurrazi, saksi memberitahu pegawai yang menyiasat kes itu adalah Asisten Superintendan (ASP) Yusman Shahri Marinsah.
Saksi itu berkata demikian ketika diminta menjelaskan jawapan ‘ya’ terhadap soalan peguam bahawa dia sehingga hari ini tidak tahu siapa membunuh mangsa walaupun sudah selesai menjalankan siasatan.
Prosiding perbicaraan akan bersambung 22 hingga 26 Januari depan.
Tertuduh, bekas Ketua Staf Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, berdepan dua pertuduhan bersubahat dengan enam tertuduh lain – Rosdi, Dennis Anit, 44, Fabian Runggam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, dan Vivien Fabian, 34, (orang awam) membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5 di antara 7.30 hingga 11.30 malam pada 13 Januari 2023.
Mat Zaki turut dituduh bersubahat dengan John Kennedy Sanggah membunuh mangsa pada masa dan lokasi sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan disebat tidak lebih 12 kali, jika sabit kesalahan.
Tujuh tertuduh lain pula didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan dikenakan sebat tidak lebih 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diketuai TPR Khairul Azreem Mamat bersama pasukannya terdiri daripada Rohaiza Abd Rahman; Lina Hanini Ismail; Mohammad Fakhrurrazi dan Low Win Hui.
Manakala Mat Zaki, Vivien, John, Khairul Azman dan Mohd Azlan diwakili Datuk Ram Singh dan Kamarudin Mohmad Chinki.
Empat lagi yang dituduh, Rosdi diwakili Datuk Ansari Abdullah, Abdul Ghani dan Erveena Ansari; Dennis (diwakili Hairul Vaiyron dan Luke Ressa Balang); Fabian (diwakili Sharata Masyaroh John, Ridwan Lincon, Zahbia Ophent dan Mohamad Zairi Zainal Abidin).
Sumber: Harian Metro