fbpx

Penolong pengurus disyaki terima suapan babit penganjuran konsert

MELAKA: Seorang penolong pengurus sebuah syarikat berkaitan kerajaan di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (kini Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital), direman empat hari bermula hari ini, selepas disyaki menerima suapan RM18,000 membabitkan penganjuran konsert, tahun lalu.

Perintah reman sehingga 12 Januari terhadap wanita berusia 37 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Khairunnisak Hassni, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka, hari ini.

Wanita yang dilaporkan hamil dua bulan itu, ditahan di Pejabat SPRM Melaka kira-kira jam 4 petang semalam, selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, suspek dipercayai membantu seorang pengarah syarikat mendapatkan kelulusan bagi memperoleh geran konsert di bawah agensi daripada kementerian berkenaan berjumlah RM300,000.

“Sebagai balasan, suspek dipercayai meminta komisen 10 hingga 20 peratus berjumlah RM18,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad, ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts