fbpx

Kes Zayn Rayyan: Sebarang tangkapan bergantung kepada proses analisa dan bukti – Mohd Shuhaily

SHAH ALAM: Sebarang tangkapan berhubung kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin akan bergantung kepada analisa yang diterima lebih awal atau yang akan diterima pada masa akan datang, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, pada Rabu, beliau berkata, polis kini sedang melakukan proses triangulasi kepada semua hasil dapatan siasatan, bagi mencari petunjuk seterusnya.

Tegasnya lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berhenti berusaha untuk menyelesaikan kes tersebut, sehingga pelaku sebenar akan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Seperti yang Ketua Polis Negara cakap dengan jelas semalam, kami sedang mengumpul semua maklumat. Kita akan menggunakan semua maklumat yang kita ada. Kita akan guna semua kaedah.

“(Untuk tangkapan), ia bergantung kepada maklumat dan analisa yang kita terima lebih awal, dan yang akan terima atau telah kita terima. Itu akan menentukan sama ada seseorang itu boleh ditahan dan cukup bukti untuk ditahan,” katanya lagi.

Pada Selasa, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, siasatan berhubung kes tersebut sudah 90 peratus selesai, melibatkan pelbagai sudut termasuk saintifik, forensik serta konvensional, termasuk perincian identiti suspek.

Katanya lagi, kesemua saksi yang pernah diambil keterangan sebelum ini mungkin akan dipanggil semula termasuk ahli keluarga Zayn Rayyan bagi melengkapkan siasatan.

Dalam pada itu Mohd Shuhaily turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat kerana turut memberi input dan perspektif dari sudut pandangan awam.

“Saya ingin berterima kasih kepada masyarakat di atas segala input diberi, yang kita juga menilai dan memberi perhatian… ada perspektif masyarakat yang kita rasa perlu untuk disiasat dan kita lakukannya.

“Dan seperti orang awam juga, pegawai saya mempunyai perasaan yang rapat dengan kes ini dan mereka sangat bermotivasi… hari ini pun masih lagi berada di lapangan, masih cuba memproses semuanya di bawah pimpinan Ketua Polis Negeri.

“Saya tegaskan, kita tidak berhenti dan tidak akan berhenti menyiasat. Kita dah berusaha, dan sebagai seorang Islam, marilah kita berdoa bersama-sama, semoga Allah akan memberi petunjuk dan semoga orang yang melakukan jenayah kejam ini dapat dibawa ke muka pengadilan,” tegas beliau lagi.

Pada 5 Disember lepas, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Damansara Damai sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokan harinya dan bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh.

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts