Melaka: Pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan memiliki 1,511 liter diesel tanpa lesen sah, tahun lalu.
Ng Chee Kiang, 52, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Dia dituduh memiliki barang kawalan berkenaan dalam keadaan yang menimbulkan syak dan melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Kesalahan itu dilakukan pada 2 petang, 22 Ogos 2023 di premis Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dan didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sumber: Harian Metro