fbpx

3 buruh didakwa merompak guna pistol dan pedang, larikan 6 ayam

Kota Bharu: Tiga buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak secara berkumpulan menggunakan pistol dan pedang sebelum melarikan enam ayam, November lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Shafie Mukhtar, 31; Mohd Ariffadilan Ismail, 38; dan Mohd Zurmi Mat Hassan, 44, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama melakukan rompak berkumpulan bersenjata pistol dan pedang ke atas, Muhamad Faris Norhalim, 24, dan melarikan enam ayam miliknya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Lubok Jambu di sini, 11.30 malam, pada 18 November lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin dan tertuduh pertama diwakili peguam, Mohd Khairul Azwan Azhan, manakala tertuduh kedua dan ketiga tidak diwakili peguam.

Abu Arsalna tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun Mohd Khairul Azwan memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM25,000 setiap seorang, masing-masing dengan seorang penjamin dan syarat tambahan supaya mereka tidak mengganggu saksi.

Hakim menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts