KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada mulai esok hingga Rabu ini di beberapa daerah di Sarawak dan Sabah.
Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan berkata di Sarawak, cuaca itu diramal di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah (Tanjung Manis, Daro, Matu dan Dalat).
Di Sabah, katanya, ia membabitkan kawasan Sandakan (Telupid, Kinabarabgan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.
“Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.
“Amaran hujan berterusan tahap buruk pula dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) dalam tempoh enam jam,” katanya.
Beliau juga berkata, amaran hujan berterusan tahap bahaya dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 mm dalam tempoh 24 jam.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan. Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.