fbpx

45 kes ‘cabut nyawa’ di Jambatan Pulau Pinang

Georgetown: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menerima 45 panggilan kecemasan berhubung kes mangsa terjun atau ancaman bunuh diri di jambatan Pulau Pinang sejak dua tahun lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, PgKB Khairy Sulaiman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 19 kes dilaporkan pada 2023 membabitkan 13 mangsa lelaki dan enam perempuan.

Katanya, kesemua mangsa terbabit berusia antara 15 hingga 52 tahun.

“Seramai 10 daripadanya berjaya diselamatkan manakala sembilan lagi ditemui maut.

“Tugas mencari dan menyelamat membabitkan 16 kes di Jambatan Pulau Pinang serta tiga di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah iaitu Jambatan Kedua Pulau Pinang.

“Sebanyak 12 kes berlaku di laluan Seberang Perai menghala Georgetown; empat dari Georgetown ke Seberang Perai; dua di Batu Kawan menghala Batu Maung dan satu di Batu Maung menghala ke Batu Kawan,” katanya tadi.

Sementara itu sepanjang tahun 2022 pula, Khairy berkata, pihaknya menerima sebanyak 26 panggilan kes mencari dan menyelamat mangsa terjun dari jambatan membabitkan 17 lelaki dan sembilan wanita.

Kesemua mangsa berusia antara 22 hingga 74 tahun yang mana 11 daripadanya berjaya diselamatkan manakala 15 lagi ditemukan maut.

“Sebanyak 22 kes membabitkan Jambatan Pulau Pinang manakala empat lagi di Jambatan Kedua.

“Sebanyak 18 kes dilapor berlaku di laluan Georgetown ke Seberang Perai manakala lapan lagi di Seberang Perai menghala ke Georgetown,” katanya lagi.

Bagi kes terkini, Harian Metro melaporkan mengenai dua individu terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang sekitar jam 7 petang Isnin lalu.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts