fbpx

Agong baca berita Buletin Utama malam ini

Foto: Twitter Kamaruddin Mape

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat Sri Pentas, hari ini.

Pasangan diraja itu tiba kira-kira jam 10.30 pagi disambut barisan kepimpinan dan warga kerja Media Prima Berhad (MPB).

Dalam lawatan berkenaan baginda berdua turut diberikan taklimat berkaitan operasi MPB dan dibawa ke lawatan eksklusif melihat studio radio dan berita.

Ketika dibawa ke Studio A, Al-Sultan Abdullah dan Permaisuri Agong turut berkenan mencemar duli membaca berita dan ia akan ditayangkan dalam Buletin Utama jam 8 malam ini, menerusi slot khas Buletin Diraja.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan dibawa melihat cenderamata yang memaparkan keratan akhbar mengenai pasangan diraja itu yang diberikan oleh Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM).

Antara yang hadir dalam lawatan diraja itu ialah Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MPB, Rosli Sabarudin.

Hadir sama Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M Thillinadan; Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim dan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) HM, Yusri Abdul Malek.

Sementara itu, Syed Hussian dalam ucapannya berkata sepanjang pemerintahan Al-Sultan Abdullah, negara ini kekal utuh dan maju walaupun terpaksa berhadapan pelbagai cabaran termasuk penularan pandemik COVID-19 serta krisis kepimpinan politik.

Katanya, kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah dalam menyelesaikan krisis demi krisis berjaya menyatupadukan rakyat daripada setiap lapisan masyarakat.

“Dalam kesibukan menangani cabaran berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga memastikan pengamal media diberi peluang untuk menyampaikan berita dan maklumat secara telus kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Malah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berdua juga sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan pengamal media tanah air. Contoh yang paling baik adalah apabila baginda Tuanku berdua sentiasa memastikan wartawan yang bertugas di Istana Negara menerima layanan terbaik oleh pihak istana.

“Malah, ada ketikanya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku sendiri berkenan berangkat untuk bertemu dan menyantuni wartawan yang membuat liputan di luar pekarangan istana.

“Keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berdua ini amatlah dihargai dan akan sentiasa dalam ingatan pengamal media,” katanya.

Syed Hussian turut merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Raja Permaisuri Agong kerana berkenan mengizinkan MPB menjadi lokasi pameran karya seni baginda.

Baginda berdua turut berkenan melihat tayangan trailer episod khas rancangan Majalah 3 yang akan memaparkan kepemimpinan dan sumbangan besar baginda berdua kepada rakyat Malaysia sepanjang tempoh bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan.

Episod penuh bertajuk Lima Tahun Pemerintahan Al-Sultan Abdullah Yang di-Pertuan Agong ke-16 selama satu jam akan disiarkan menerusi TV3 pada jam 9 malam 29 Januari ini.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts