fbpx

31,600 bakal haji terima surat tawaran hari ini

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan mula mengeluarkan Surat Tawaran Haji kepada 31,600 jemaah bagi tahun 1445H/2024M bermula pada hari ini.

Bakal haji perlu cukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran tersebut dalam tempoh 11 hari bekerja melalui aplikasi THiJARI atau untuk kes-kes tertentu boleh mengunjungi mana-mana cawangan TH yang berdekatan.

TH dalam satu kenyataan juga memberi jaminan akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji Bersasar untuk bakal haji Muassasah daripada kalangan B40 dan M40 pada tahun ini (1445H/2024M) walaupun terdapat peningkatan kos menunaikan ibadat haji.

Kos Haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji 1445H/2024M meningkat lapan peratus kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun 1444H/2023M.

Sehubungan itu, kadar Bayaran Haji untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan pada RM12,356 seorang.

Kadar ini telah mengambil kira keprihatinan Kerajaan Malaysia terhadap bakal haji kumpulan B40 di mana Kerajaan akan menanggung sebanyak RM1,000 seorang.

Bakal haji kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji dan bantuan Kerajaan berjumlah RM20,944 seorang atau bersamaan dengan 63 peratus daripada kos haji.

Bayaran Haji bagi bakal haji Muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat haji pula adalah RM19,152 seorang.

Bakal haji kumpulan M40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM14,148 seorang atau 42 peratus dari kos keseluruhan kos haji. 

Sumber: Utusan

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts