GAZA CITY: Serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza memusnahkan 1,000 masjid sejak 7 Oktober, menurut pihak berkuasa tempatan.
“Pembinaan semula masjid-masjid ini akan menelan belanja sekitar AS$500 juta (RM2.36 bilion) ,” kata Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama, Gaza dalam satu kenyataan.
Dianggarkan terdapat 1,200 masjid di Semenanjung Gaza.
Menurut kementerian itu, lebih 100 pendakwah Islam turut terbunuh dalam serangan maut Israel di wilayah pinggir laut itu.
“Pendudukan Israel terus memusnahkan puluhan tanah perkuburan dan menggali kubur dan mencuri mayat yang jelas bertentangan dengan piagam antarabangsa dan hak asasi manusia,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, sebuah gereja, beberapa bangunan pentadbiran, pusat pengajian al-Quran, dan ibu pejabat bank musnah dalam serangan Israel.
“Kami merayu kepada negara-negara Arab dan Islam serta orang-orang yang berhati nurani untuk menunaikan tanggungjawab mereka terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza,” katanya yang dilaporkan Agensi Anadolu.
Israel menggempur Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober, yang menurut Tel Aviv membunuh hampir 1,200 orang.
Sekurang-kurangnya 25,105 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan 62,681 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.
Serangan Israel menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus infrastruktur di wilayah terkepung itu rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sumber: Berita Harian