fbpx

Fenomena El-Nino: Kapasiti air beberapa LRA di Kedah menurun

ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) mendapati kapasiti pengeluaran air harian di beberapa loji rawatan air (LRA) menunjukkan trend penurunan yang berpunca daripada Fenomena El Nino.

SADA menerusi satu kenyataan berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan fenomena cuaca kering dan panas ini sedang berlaku di seluruh negara dan dijangka berterusan sehingga suku kedua tahun ini.

Menurut kenyataan itu, di Kedah, beberapa kawasan dijangka akan terkesan dengan situasi berkenaan iaitu lokasi yang memperoleh bekalan air dari LRA jenis Headworks, yang beroperasi secara separa rawatan dan bergantung kepada kualiti serta kuantiti air mentah semasa.

“Daripada 35 LRA di seluruh negeri Kedah, empat daripadanya merupakan LRA jenis Headworks yang menerima sumber bekalan air mentah daripada gunung atau bukit.

“Antaranya ialah LRA Merbok, LRA Tupah dan LRA Gurun, di daerah Kuala Muda serta LRA Pulau Tuba di daerah Langkawi,” katanya pada Selasa.

Kenyataan itu memaklumkan, antara kawasan yang berisiko terjejas sepanjang musim kemarau ini ialah Merbok, Semeling, Tikam Batu, Tanjung Dawai, Pengkalan Bujang, Bedong, Gurun dan Pulau Tuba, Langkawi.

Jelasnya, pengguna dinasihatkan untuk menjimatkan penggunaan air harian sepanjang musim kemarau ini.

“SADA komited dalam mengatasi isu ini dengan mengambil beberapa tindakan antaranya pemantauan rapi dan berkala paras sungai di semua muka sauk dan pemantauan kualiti air mentah secara lebih kerap bagi mengawasi kejadian-kejadian pelanggaran kualiti terutamanya daripada aspek bau dan warna.

“Sesi libat urus bersama agensi kerajaan berkaitan diadakan bagi pelaksanaan tindakan mitigasi seperti pelepasan air empangan utama serta pembenihan awan dan mengaktifkan Pelan Tindak Balas Kecemasan (ERP) untuk bekalan air sekiranya paras air sungai serta empangan menjadi terlalu rendah,” ujarnya lagi.

Kenyataan itu turut memaklumkan, SADA juga akan melakukan pembaikan kebocoran paip agihan utama dan retikulasi selain menyediakan sokongan logistik dalam memobilisasi bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik.

Sumber; Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts