fbpx

Polis siasat 88 kes pecah amanah jenayah babitkan peguam lebih RM88 juta

KUALA LUMPUR: Polis menyiasat 88 kes berkaitan pecah amanah jenayah membabitkan peguam yang mencatatkan kerugian RM88,354,725.39 bagi tempoh antara tahun 2021 hingga 2023.

Walaupun peratusan kes yang dicatatkan 0.4 peratus berbanding jumlah keseluruhan sekitar 21,570 peguam yang berdaftar dengan Majlis Peguam Malaysia pada tahun 2023, polis menganggap purata kerugian yang dicatatkan amat membimbangkan iaitu mencecah RM998,333.35 bagi satu kes.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah berkenaan memberi gambaran bahawa kes pecah amanah dalam kalangan peguam tidak harus dipandang ringan.

“Dalam satu kes pada 19 Januari lalu (2024) seorang ahli perniagaan berusia 60 tahun membuat laporan berhubung kes pecah amanah jenayah yang dilakukan oleh peguam dilantiknya bagi menguruskan penjualan rumah di Negeri Sembilan dengan nilai kerugian RM333,323.00.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek (peguam) serta ejen hartanah telah menguruskan penjualan rumah milik pengadu sekitar Ogos tahun lalu namun hasil jualan tidak diserahkan kepada pengadu.

“Pada awal bulan ini, pengadu telah pergi ke firma guaman berkenaan dan dimaklumkan oleh kakitangan di sana bahawa wangnya telah digunakan oleh pemilik firma bagi tujuan lain,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Ramli berkata pada hari sama pengadu telah diberikan sekeping cek bernilai RM333,323.00 namun cek itu gagal ditunaikan kerana pembayarannya dihentikan oleh pemilik firma guaman berkenaan atas sebab tidak diketahui.

“Semakan yang dilakukan dengan pejabat tanah mendapati rumah milik pengadu telah dipindah milik kepada pemilik baharu dan siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan sedang dijalankan.

“Justeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa pembabitan Majlis Peguam Malaysia untuk meneliti dan menambah baik prosedur serta hukuman yang dilaksanakan dalam menangani isu salah laku dalam kalangan peguam.

Beliau berkata, PDRM turut mencadangkan agar prosedur pengurusan akaun pelanggan oleh firma guaman diteliti semula dengan memasukkan peranan anak guam bagi sebarang transaksi akaun tersebut.

Katanya, jika langkah ini dapat dilaksanakan ia akan menjadi satu mekanisme yang efektif bagi mencegah pecah amanah jenayah oleh peguam malah mengelakkan berlakunya pengubahan wang haram.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts