fbpx

Wanita cedera parah ditikam selepas berlaku perselisihan faham – Polis

KUALA LUMPUR: Seorang wanita tempatan cedera di bahagian perut dan beberapa bahagian tubuh yang lain, disyaki ditikam oleh seorang wanita lain di hadapan rumahnya di Batang Kali, dekat sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim dalam kenyataan malam ini berkata kes itu berlaku pada 4.04 petang tadi, dan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di antara mangsa dan suspek.

Beliau berkata dalam kejadian itu, suspek disyaki bertindak menikam mangsa di bahagian perut menggunakan sebilah pisau berukuran 26.5 sentimeter (cm).

“Mangsa telah mengalami luka koyakan di perut, cedera di bahu, cedera tangan kiri dan tangan kanan, serta cedera di bahagian kepala dan telah dibawa ke Hospital Selayang,” katanya.

Ahmad Faizal berkata susulan kejadian itu, seorang suspek wanita berusia 31 tahun yang merupakan rakan kakak mangsa, ditahan di sekitar kawasan kejadian kerana dipercayai terlibat dalam kes berkenaan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata hasil semakan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod lampau dan pihaknya akan memohon tahanan reman ke atas suspek di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu pada esok, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Ahmad Faizal turut meminta masyarakat tampil memberi maklumat kepada pihak polis jika mempunyai maklumat berkaitan kes itu dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641223.

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts