fbpx

Konsert Ed Sheeran: Tiada perubahan kelulusan, akan teliti jika ada keperluan – Fahmi

KUALA LUMPUR: Tiada perubahan pada kelulusan konsert Ed Sheeran yang akan diadakan di Kuala Lumpur bulan depan, buat masa ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, permohonan persembahan artis antarabangsa di Malaysia sudah melalui proses semakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum dibenarkan membuat persembahan.

JAKIM merupakan salah satu daripada 16 agensi yang membentuk Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) yang memutuskan sama ada artis luar boleh membuat persembahan di Malaysia atau tidak.

“Salah satu daripada 16 agensi yang terlibat dalam perbincangan untuk meluluskan permohonan persembahan artis luar negara, melalui jawatankuasa PUSPAL ialah JAKIM dan Kementerian Dalam Negeri. Sudah pasti saringan teliti dibuat oleh semua agensi ini.

“Kita ambil maklum pandangan tetapi kita ada proses, dan kita akan teliti jika perlu diambil tindakan. Buat masa ini belum ada perubahan pada kelulusan yang sudah diberi sebelum ini,’ katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet, pada Rabu.

Fahmi menjawab desakan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Mohd Noor agar kerajaan membatalkan kelulusan konsert oleh Sheeran, yang didakwa sebagai penyokong komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Penyanyi Britain itu dijadualkan membuat persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Feb sebagai sebahagian daripada “+-=÷x Asia Tour”, yang turut menampilkan penyanyi jemputan, Calum Scott.

Sheeran sebelum ini pernah mengadakan konsert di Malaysia pada 2019 sempena jelajah dunia “Divide”.

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts