SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta ibunya yang diparkir berdekatan pintu belakang Hospital Shah Alam, dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata polis menerima laporan berhubung insiden itu daripada seorang pegawai perubatan hospital terbabit pada jam 8.01 malam.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam kereta jenis Perodua Axia selepas mangsa diambil dari sebuah TASKA berdekatan tempat kejadian sekitar jam 2 petang.
“Ketika ditinggalkan, mangsa dikatakan berada dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu mangsa berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital itu dipercayai hanya menyedari insiden terbabit selepas dihubungi suaminya pada jam 6 petang.
“Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Shah Alam, dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bedah siasat sudah dijalankan pada jam 2 petang semalam dengan keputusan ‘pending laboratory investigations’.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas mangsa juga mendapati tidak ada sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman pada kanak-kanak itu.
Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.
“Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati ketika mengambil anak-anak mereka pulang dari sekolah atau TASKA, terutama yang masih kecil supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini, boleh menghubungi Inspektor Syer Aidid melalui talian 013-6544996,” katanya.
Oktober lalu, seorang bayi perempuan berusia 16 bulan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam kereta di sebuah universiti awam (UA) di Kuala Nerus, Terengganu.
Siasatan awal polis yang menerima laporan kejadian itu jam 4.30 petang mendapati bapa mangsa dikatakan terlupa menghantar anaknya ke pusat asuhan yang terletak dalam kampus UA terbabit sebelum ke tempat kerja di universiti sama.
Awal bulan yang sama, seorang bayi perempuan berusia lapan bulan juga maut selepas ditinggalkan hampir 10 jam dalam kereta ibunya dari pagi hingga petang di kawasan parkir kenderaan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HTCM), Cheras, Kuala Lumpur.
Kejadian berlaku selepas ibu mangsa yang juga seorang doktor, menyangka sudah menghantar bayinya itu ke TASKA sebelum ke tempat kerja, sebaliknya dia dilaporkan terus memandu ke tempat kerja.
Ibu mangsa hanya menyedari bayi itu masih berada di dalam kereta pada petang hari sama selepas dimaklumkan oleh suaminya bahawa mangsa tidak dihantar ke TASKA.
Terdahulu pada Julai 2019, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia selepas tertinggal dalam kereta dipandu datuknya di Taman Sungai Raya di Langkawi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa ditinggalkan hampir dua jam dalam kereta di luar pagar rumah mereka, sebelum datuknya menyedari ketiadaannya dalam rumah.
Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibu dan datuknya yang berusia 73 tahun, kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Langkawi (HL).
Sebelum kejadian, mangsa mengikut datuknya menaiki kereta untuk mengambil kakak dan abangnya pulang dari sekolah berhampiran.
Budak itu yang duduk di tempat duduk penumpang belakang dipercayai tertidur ketika kakak dan abangnya keluar dari kenderaan. Datuk mangsa juga terus masuk dalam rumah dan beranggapan cucunya sudah keluar kereta bersama kakak dan abang.
Dua jam kemudian, mangsa disedari tidak bersama kakak dan abangnya di rumah, sebelum ibunya keluar mencari di rumah datuk mereka.
Pemeriksaan mendapati mangsa tidak sedarkan diri sambil tertiarap di tempat duduk penumpang belakang, sebelum dibawa ke HL dan disahkan meninggal dunia
Sumber: Berita Harian