Papar: Bawang putih dari China, halia tua import, lobak putih import dan lobak merah disenarai antara 11 barangan harga terkawal menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu China 2024 berkuat kuasa mulai 6 Februari ini.
Bagi bawang putih, harga runcit maksimum yang ditetapkan menerusi skim itu ialah RM11 sekilogram di seluruh negara, manakala halia tua import RM11.50 di Semenanjung dan Sarawak, berbanding antara RM12.50 hingga RM13 sekilogram di Sabah dan Labuan.
Harga runcit maksimum lobak putih import pula ditetapkan RM5 di Semenanjung, antara RM5 hingga RM6 di Sarawak dan antara RM5 hingga RM5.50 di Sabah dan Labuan, manakala lobak merah berharga RM4.50 di Semenanjung, antara RM5 hingga RM6 di Sarawak dan antara RM5 hingga RM7 di Sabah dan Labuan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penguatkuasaan skim itu dilaksanakan sehingga 14 Februari iaitu empat hari sebelum perayaan, sehari pada hari perayaan dan empat hari lagi selepas hari perayaan.
“Sebanyak 11 jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 yang akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Tujuh lagi barangan yang disenaraikan dalam skim itu ialah udang putih (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram), ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor), babi hidup, daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak), kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing) dan ubi kentang import (China).
Bagi udang putih, harga runcit maksimum yang ditetapkan ialah RM39 sekilogram di Semenanjung, RM35 di Sarawak, RM30 hingga RM33 di Sabah dan RM36 sekilogram di Labuan, manakala harga runcit maksimum bawal putih pula ditetapkan RM42 di Semenanjung, RM40 di Sarawak, RM30 di Sabah dan RM35 di Labuan.
Sementara itu, harga runcit maksimum babi hidup yang ditetapkan di peringkat ladang saja ialah RM17 sekilogram di Semenanjung, RM15 di Sarawak dan antara RM18 hingga RM18.50 di Sabah dan Labuan.
Bagi daging babi (perut), harga runcit maksimum di Semenanjung ialah RM38 sekilogram, diikuti RM28 di Sarawak, RM39 di Sabah dan RM40 sekilogram di Labuan, manakala harga bagi produk daging dan lemak ialah RM27 sekilogram di Semenanjung dan Sarawak, diikuti RM33 di Sabah dan Labuan.
Harga runcit maksimum kobis bulat import dari Indonesia dan China pula ialah RM3.50 sekilogram di Semenanjung, Sabah dan Labuan, diikuti RM4 hingga RM4.50 di Sarawak, manakala harga maksimum ubi kentang ialah RM3.50 di Semenanjung dan antara RM4 hingga RM4.50 di Sarawak, Sabah dan Labuan.
Armizan berkata, semakan harga bagi skim berkenaan juga boleh dibuat melalui laman sesawang KPDN di https://www.kpdn.gov.my.
Dalam pada itu, beliau berkata, bekalan bahan makanan sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina kali ini mencukupi berdasarkan jaminan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Katanya, kementeriannya turut bekerjasama dengan KPKM melaksanakan pemantauan berterusan untuk memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang musim perayaan.
“Pegawai Penguat Kuasa KPDN di seluruh negara akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.
“Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya.
Armizan memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Sumber: Harian Metro