fbpx

Pati merusuh, pecah pagar sebelum lolos

Tapah: Pendatang asing tanpa izin (Pati) yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor, di sini, malam tadi, dipercayai merusuh dengan memecah pagar dan kawad duri sebelum meloloskan diri ke hutan berhampiran.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

“Ketika rusuhan berlaku, kesemua 132 Pati memecahkan pagar serta kawad duri di sekeliling kawasan depoh untuk melarikan diri.

“Ada antara mereka lari ke kawasan hutan berdekatan yang dipisahkan oleh Lebuhraya Utara Selatan,” katanya dalam sidang media di hadapan perkarangan depoh itu, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Yusri berkata, pihaknya optimis semua Pati berkenaan dapat ditangkap semula memandangkan mereka melarikan diri dengan sehelai sepinggang tanpa membawa sebarang keperluan diri, makanan, wang, dan sebagainya.

“Kita percaya, insya-Allah dengan pembabitan daripada semua agensi dan keadaan mereka yang sehelai sepinggan, pelarian ini dapat ditahan semula.

“Selain daripada anggota biasa, kita juga menggunakan bantuan unit udara dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman untuk membantu pencarian,” katanya.

Beliau berkata, pencarian menjurus kepada radius sekitar kawasan berhampiran depoh yang dikelilingi ladang kelapa sawit serta kawasan seberang laluan lebuh raya ini yang juga hutan kecil.

Katanya, setakat ini sebanyak tujuh sekatan jalan raya (SJR) didirikan bagi operasi mencari untuk menahan semula semua pelarian terbabit, membabitkan SJR yang didirikan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, dibantu oleh IPD di daerah berdekatan termasuk Kampar, Muallim dan Hilir Perak.

“Kita mungkin tambah lagi mengikut keperluan. Walaupun belum ada tangkapan namun kita sudah ada mendapat beberapa maklumat daripada luar sana untuk kita mengesan mereka (pelarian),” katanya.

Pada masa sama, MOHD Yusri memberi amaran kepada masyarakat supaya tidak sesekali menzahirkan rasa simpati dengan cuba melindungi pelarian yang lolos.

“Jangan bersekongkol atau memberikan simpati kepada pelarian ini kerana mereka boleh didakwa atas kesalahan bersubahat.

“Namun setakat ini, kita percaya mereka masih berada dalam sekitar kawasan kebun kelapa sawit ini (sekitar depoh) atau masih dalam daerah ini (Tapah) lagi,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan tular kononnya 13 warga Myanmar meninggal dunia akibat kemalangan ketika melarikan diri.

Katanya, kemalangan hanya membabitkan seorang tahanan Myanmar berusia lingkungan 30-an yang maut d lokasi kejadian.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts