Putrajaya: Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan esok mengenai rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan.
Keputusan itu dijadualkan disampaikan di mahkamah terbuka pada jam 2 petang oleh panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.
Pada hari yang sama, mahkamah juga akan menyampaikan keputusannya terhadap rayuan ketiga-tiga mereka untuk mencabar beberapa penemuan fakta oleh Mahkamah Tinggi, termasuk penemuan bahawa kebakaran yang berlaku di bilik Nazri “dilakukan dengan sengaja.”
Sekiranya keputusan memihak kepada pendakwaan, kes itu akan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi dan Samirah serta dua remaja terbabit perlu membela diri.
Jika tidak, pembebasan terhadap ketiga-tiga mereka akan kekal.
Pada 23 Oktober tahun lalu, panel tiga hakim menangguhkan keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Samirah dan dua remaja itu, melengkapkan hujahannya pada 23 Oktober, manakala pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim selesai hujahan pada 17 Oktober.
Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Samirah, 49, yang juga balu Nazrin serta dua remaja yang kini berusia 21 dan 18 tahun, daripada pertuduhan membunuh Nazrin selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka pada akhir kes.
Ketiga-tiga mereka dan seorang wanita Indonesia Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin, 45, di rumahnya di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 12 Jun 2018 hingga 4 pagi keesokannya.
Pada 30 Jun 2022, Samirah dan dua remaja berkenaan memfailkan rayuan untuk mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi.
Sumber: Harian Metro