fbpx

Op Selamat: PDRM awasi 54 lokasi kesesakan lalu lintas, kemalangan di semua lebuh raya

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan pengawasannya di 18 lokasi ‘hotspot’ dan 46 lokasi ‘blackspot’ di lebuh raya seluruh negara sempena Op Selamat Tahun Baharu Cina ke-21 bermula esok.

Untuk rekod, lokasi hotspot adalah kawasan yang kerap berlaku kesesakan lalu-lintas manakala lokasi blackspot adalah lokasi yang sering berlaku kemalangan.

Sempena Op Selamat ke-21 ini seramai 6,559 pegawai dan anggota akan ditugaskan bermula 8 Februari hingga 13 Februari, di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan melaksanakan ‘penguatkuasaan dan perkhidmatan menyeluruh’ (total enforcement and services) dalam penugasan operasi berkenaan.

“Kita melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan lalu lintas dan memberikan perkhidmatan menyeluruh kepada masyarakat.

“Kita juga melaksanakan pencegahan kes jenayah terhadap harta benda dan kediaman yang ditinggalkan orang ramai sepanjang tempoh musim perayaan itu dengan mengisi borang menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Petrol (VSP) 2.0 ,” katanya pada sidang media selepas Merasmikan Op Selamat Tahun Baharu Cina di Persada PLUS, di sini, hari ini.

Razarudin berkata, pihaknya menjangkakan pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya bermula esok kerana orang ramai mengambil kesempatan pulang ke kampung sempena cuti perayaan dan cuti sekolah.

“Kita juga menyediakan kekuatan anggota dan pegawai secukupnya untuk ditempatkan di lapangan bagi melancarkan aliran trafik.

“Ada juga pegawai dan anggota ditempatkan di lokasi ‘hotspot’ yang sering kali berlaku kesesakan dan kawasan ‘blackspot’ iaitu lokasi kerap berlaku kemalangan selain mengenal pasti 407 lokasi ‘hotspot’ serta 76 ‘blackspot’ di negeri dan daerah.

“Manakala sebanyak 18 ‘hotspot’ dan 46 ‘blackspot’ dikenal pasti di kawasan lebuh raya,” katanya.

Beliau berkata, anggota dan pegawai yang terbabit dalam operasi itu dibekukan cuti bagi memberi tumpuan dan komitmen dalam menjayakan Op Selamat Ke-21.

“Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti melalui petugas Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Unit Dron, PDRM turut terlibat dalam operasi itu,” katanya.

Katanya, PDRM turut menjalinkan kerjasama dengan rakan kolaborasi strategik PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Selain itu, kita turut menempatkan ’emergency response team (ERT) tersebut di beberapa lokasi strategik,” katanya.

Razarudin juga menasihatkan orang ramai merancang perjalanan serta membuat persediaan awal sebelum pulang ke kampung.

“Mereka juga perlu memastikan kenderaan diselenggara dengan baik serta dapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan selain memandu dengan kelajuan yang dibenarkan serta mematuhi arahan papan tanda,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts