fbpx

Penunggang warga asing tiada lesen mengaku beri suapan kepada polis

© Jeremy Jensen Photography

Seremban: Warga asing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi rasuah kepada anggota polis sebagai balasan untuk melepaskannya daripada dikenakan tindakan kerana menunggang motosikal tanpa lesen, 6 Februari lalu.

Tertuduh, Usman, 45, warga Indonesia membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara rasuah memberikan suatu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM250 kepada anggota polis yang bertugas di Balai Polis Sikamat di sini, 6.20 petang pada 6 Februari lalu.

Ia sebagai dorongan kepadanya untuk tidak melakukan suatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya, supaya anggota itu tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap tertuduh kerana didapati melakukan kesalahan memandu motosikal tanpa lesen memandu yang sah.

Dengan itu, tertuduh melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Jika disabitkan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana- mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi sebutan fakta dan hukuman serta tidak menawarkan sebarang jaminan.

Menurutnya, ia mengambil kira faktor tertuduh seorang warga asing yang berisiko melarikan diri lebih-lebih pasportnya sudah tamat tempoh sejak tahun lalu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 14 Februari bagi sebutan semula dan tidak memberikan sebarang jaminan kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts