fbpx

Pesawat terhempas didakwa tiada kotak hitam, kotak perakam suara

Photographs supplied by the department to the media indicated that the aircraft bore markings of Singapore-based flight trainer company Aviation Safety Technology Pte Ltd. — Picture courtesy of Fire and Rescue Department

KLANG: Pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar semalam, dikatakan tidak mempunyai kotak hitam.

Menurut seorang pegawai agensi bawah Kementerian Pengangkutan (MOT), pesawat berkenaan juga dikatakan tidak dilengkapi kotak perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR) serta Sistem Kedudukan Sejagat (GPS).

Justeru, katanya, siasatan bagi mengenal pasti punca pesawat berkenaan terhempas dilihat sukar dan berkemungkinan mengambil masa sehingga setahun.

“Tiada kotak hitam, CVR, FDR. Malah GPS juga tiada, kalau ada boleh membantu siasatan.

“Kita akan bawa serpihan pesawat ini ke hangar berdekatan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi pesawat berkenaan terhempas di sini, hari ini.

Selepas serpihan pesawat berkenaan dikumpulkan, katanya, ia akan ‘dibina semula’ untuk mengenal pasti punca dan seterusnya dibawa ke makmal bagi pengesahan.

“Kita akan buat analisis dan siasatan mungkin mengambil masa setahun. Setakat ini tiada rumusan punca nahas manakala enjin pesawat akan dibuka untuk diperiksa satu persatu,” katanya.

Difahamkan pesawat buatan Itali itu didaftar pada 2017.

Pegawai itu berkata, seorang saksi mendakwa melihat sayap pesawat berkenaan patah di udara sebelum terhempas.

Katanya, siasatan akan menjurus terhadap aspek itu selain enjin pesawat.

“Kita akan lihat pada sayap termasuk hentakan yang berlaku selain enjin pesawat.

“Kita akan kaji segala kemungkinan punca kejadian ini. Orang ramai diharap menyerahkan mana-mana serpihan kecil pesawat jika menemuinya,” katanya.

Ditanya sama ada pesawat tanpa alat komunikasi dibenar melakukan penerbangan, beliau berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Tinjauan mendapati serpihan termasuk roda dan bahagian minyak pesawat dibawa keluar dari lokasi rumah penduduk serta dihimpun di Pusat Kawalan Tempat Kejadian.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar dilaporkan berkata, mengikut senarai nama penumpang, mangsa terbabit adalah Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42.

Katanya, mangsa yang difahamkan berasal dari Johor dan Pulau Pinang ditemui sekitar jam 2 petang di dalam kokpit.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts