fbpx

Bangunan megah tiada makna jika masih ada rakyat hidup ikat perut – Sultan Nazrin

Foto: The Star

IPOH: Bangunan megah ‘mencakar langit’ tidak memberi makna sekiranya masih ada rakyat yang terpaksa hidup mengikat perut, mencatu makanan dan tidur berbumbungkan langit, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sehubungan itu, baginda menegaskan, usaha membasmi kemiskinan wajib diteruskan selari agenda menoktahi keadaan hidup sedemikian yang menjadi satu daripada matlamat untuk menjamin kesejahteraan sosial rakyat.

Usaha pembasmian kemiskinan, tegas Sultan Perak, bukan sekadar fokus kepada peningkatan pendapatan, tetapi turut mengambil kira kualiti dan kesejahteraan hidup dengan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang kukuh serta perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik.

Titah baginda lagi, dalam usaha memakmurkan negeri, kesalingan hubungan kesihatan dan penentu sosial kesihatan yang membentuk kesejahteraan rakyat, perlu diberikan perhatian.

“Kesihatan yang baik bukan sekadar ketiadaan penyakit, tetapi keadaan holistik yang merangkumi kesejahteraan fizikal, mental dan sosial,” titah Sultan Nazrin pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua, Dewan Negeri (DUN) Perak ke-15, di sini hari ini.

Baginda bertitah, kesihatan tidak ditentukan semata-mata oleh perkhidmatan kesihatan yang disediakan, sebaliknya tahap kesihatan seseorang juga dipengaruhi penentu-penentu lain. antaranya tempat dilahirkan dan tempat membesar, begitu juga suasana hidup, bekerja dan menua.

“Untuk membina masyarakat berdaya tahan dan berkembang maju, terutama dalam persiapan menghadapi masyarakat negeri ini yang semakin menua, amatlah penting diberi perhatian kepada penentu-penentu sosial kesihatan,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin, pendidikan adalah asas dalam usaha membentuk kesihatan yang baik kerana rakyat berpendidikan bukan sahaja berupaya membuat pilihan kesihatan yang bermaklumat, tetapi berupaya memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan negara.

Pendidikan juga, titah baginda, berperanan penting dalam usaha mengubah landskap kemiskinan, mengeluarkan rakyat daripada kepompong kemiskinan dan menaik taraf kehidupan rakyat.

Justeru, Sultan Perak bertitah, pelaburan dalam bidang pendidikan merupakan pelaburan untuk kesihatan dan kemakmuran rakyat.

“Walaupun dasar berkaitan pendidikan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kerajaan beta juga boleh melaksanakan inisiatif untuk membantu memastikan kadar tinggi kehadiran murid ke sekolah dan menyediakan pelbagai insentif untuk menarik minat murid agar terus berada di bilik darjah.

“Tumpuan perlu diberikan kepada agenda pendidikan, terutamanya kepada generasi kedua agar kemiskinan tidak diwarisi oleh generasi akan datang, di sebaliknya akan berlaku mobiliti sosial keluarga ke tingkat yang lebih tinggi,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin lagi, usaha membasmi kemiskinan yang dirintis oleh kerajaan negeri sudah menyinarkan cahaya keyakinan, berpandukan data eKasih.

Jumlah kemiskinan tegar di Perak sehingga 31 Disember 2023 turun sehingga 58 peratus, iaitu kepada 3,911 ketua isi rumah (KIR) berbanding 9,402 KIR setakat 31 Januari sebelumnya.

“Penurunan angka kemiskinan tegar ini disumbangkan oleh pelbagai faktor termasuk usaha dan inisiatif oleh pentadbiran daerah serta semua agensi pemberi bantuan yang memberikan komitmen yang tinggi.

“Semoga melalui kerjasama proaktif dari pelbagai pihak, merangkumi sokongan daripada badan-badan bukan kerajaan, tidak ada rakyat yang terpinggir daripada menikmati hasil kemakmuran negeri,” titah baginda.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts