fbpx

SPM 2023: 55.11 peratus calon kuasai KBAT dengan baik

Calon SPM 2023 menerima keputusan peperiksaan yang diumumkan, semalam. - FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA: Sebanyak 55.11 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 memiliki tahap penguasaan baik dalam Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dinilai berdasarkan empat petunjuk, iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta.

Menurut Laporan Analisis Keputusan SPM 2023, calon mempunyai tahap penguasaan yang baik dalam kemahiran mengaplikasi dan menganalisis berbanding dua lagi kemahiran terbabit.

Berdasarkan statistik penguasaan baik mengikut kemahiran dalam KBAT, sebanyak 61.21 peratus calon mencapai tahap itu bagi mengaplikasi, diikuti menganalisis (60.99 peratus), menilai (50.75 peratus) dan mencipta (47.50 peratus).

Hasil analisis menunjukkan calon kurang menguasai kemahiran mencipta, dengan secara keseluruhannya berada pada tahap penguasaan minimum dalam KBAT.

Justeru, menurut laporan itu lagi, KBAT harus sentiasa dipupuk dan dibudayakan dalam diri murid, terutama melalui proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Selain itu, pembudayaan KBAT harus digalakkan melalui pembabitan aktif dalam aktiviti pembelajaran berasaskan inkuiri, projek, penyelesaian masalah, membuat keputusan, perbincangan dan perbahasan.

Malah, ibu bapa, komuniti setempat dan masyarakat perlu memainkan peranan dalam menyediakan ruang serta peluang untuk murid meningkatkan kemahiran berfikir.

Ini kerana penguasaan KBAT adalah penting bagi memastikan mereka mampu menghadapi cabaran dan bersaing pada peringkat global.

Seramai 373,525 calon menduduki SPM 2023 yang mana pengumuman keputusan, semalam, menyaksikan 11,713 daripada mereka berjaya meraih keputusan cemerlang Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran, meningkat berbanding 10,109 pada 2022.



Source: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts