fbpx

PETRONAS milik semua rakyat, jangan ‘disakau’ negeri tertentu

Pic source: Suria KLCC FB
Pic Source: Suria KLCC FB

Terdapat sesuatu yang istimewa mengenai Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) yang mengatasi mana-mana syarikat di negara ini. Syarikat yang ditubuhkan 50 tahun lalu menyentuh kehidupan hampir setiap rakyat negara ini sama ada secara langsung atau tidak.

Kita mesti sekurang-kurang sekali dalam hidup mengisi minyak di Stesen Petronas. Kita mengenali seseorang atau pernah bertemu seseorang yang bekerja dengan Petronas.

Puluhan ribu rakyat diberikan biasiswa atau bantuan pelajaran untuk melanjutkan pelajaran sama ada di dalam atau luar negara. Setiap kali acara F1, tertera nama Petronas pada kereta Mercedes untuk disaksikan satu dunia. Pada 2022, syarikat milik kerajaan itu mencatatkan keuntungan bersih terbesar dalam sejarah RM101.6 bilion – dengan pendapatan RM372.3 bilion.

Tiada syarikat tempatan yang mampu menghampiri syarikat minyak nasional itu.

Syarikat itu telah memberikan dividen bernilai ratusan bilion kepada kerajaan sejak ditubuhkan yang hasilnya dirasai rakyat. Ketika kerajaan berdepan tekanan kewangan, terdapat cakap cakap bahawa gaji kakitangan awam dibayar Petronas.

Ketika krisis kemanusiaan Covid-19, Petronas yang pada awalnya menetapkan dividen RM24 bilion kepada kerajaan berdasarkan pencapaian kewangan tahun 2019. Ketika Malaysia hampir lumpuh kerana Covid-19, Petronas telah memberikan dividen tambahan RM10 bilion.

Ada mengatakan bahawa apa susah untuk Petronas menjadi kaya kerana dengan mengorek ke dasar laut, terus dapat minyak. Pada satu ketika, Petronas adalah antara lima syarikat minyak paling menguntungkan berdasarkan jumlah pekerja.

Ia duduk dalam kelompok gergasi seperti Shell dan Exxon. Sebuah syarikat tempatan yang diwujudkan anak tempatan. Jika ada mempertikaikan status Petronas, kenapa ketika itu tiada syarikat dari benua Arab yang minyaknya lebih melimpah ruah berbanding Malaysia tetapi tidak tersenarai?

Ketika ini terdapat kontroversi mengenai peranan Petronas akan diambil alih oleh Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dalam kegiatan jual beli gas asli di Sarawak. Satu laporan menyatakan tempoh peralihan pengambilalihan itu bermula 1 Julai ini sehingga 1 Januari 2025.

Tengku Razaleigh Hamzah yang juga pengasas Petronas dilaporkan berkata, syarikat itu ditubuhkan antaranya atas kehendak rakyat Sarawak sendiri bagi menguruskan kegiatan industri petroleum termasuk di negeri itu.

“Ini perkara amat kontroversi kerana seolah-olah Sarawak tidak mahu kita teruskan pengurusan minyak. Tetapi tidak dapat tidak, kita semua perlu rujuk kepada sejarah.

“Penubuhan Petronas adalah atas kehendak orang Sarawak sendiri kerana (bekas ketua menteri dan bekas yang di-pertua negeri) Allahyarham Tun Rahman Ya’kub yang mencadangkan supaya Petronas tidak dimiliki oleh sesiapa, sebaliknya dimiliki oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Implikasi pengambilan semua operasi berkaitan jual beli gas adalah terlalu besar termasuk syarikat asing diberikan hak membeli gas atau semua operasi berkaitan gas diserahkan kepada warga luar.

Kesannya – Petronas yang kita kenali akan berakhir.

Kerajaan tidak perlu lagi berharap dividen besar. Syarikat gergasi yang mencapai usia lima dekad akan menjadi seperti harimau tanpa taring. Itu belum lagi tuntutan Sabah.

Kadangkala kita lebih mudah menyalahkan orang lain di atas kegagalan sendiri membangun negeri. Orang lain semua salah. Mereka seperti berjalan di atas air. Petronas adalah hak milik semua negeri dan semua rakyat dan keistimewaan ini jangan dihancurkan kerana kerakusan kepada kekayaan mudah.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang
Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd 

Sumber: Utusan Malaysia

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts