fbpx

Penyeludup Thailand akui sukar dapat bekalan diesel susulan pelaksanaan penyasaran subsidi

KOTA BHARU: Peniaga di selatan Thailand yang menyeludup dan menjual diesel bersubsidi mengakui mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan berikutan langkah Kerajaan Malaysia memperkenalkan penyasaran bahan api berkenaan.

Kebanyakan peniaga yang mengendalikan gerai di sepanjang jalan utama di bandar Sungai Golok, Narathiwat dan wilayah Yala mendakwa perkara itu berlaku seminggu sebelum Kerajaan Malaysia melaksanakannya pada 10 Jun lalu.

“Langkah Kerajaan Malaysia untuk menyasarkan subsidi diesel menyebabkan harga bahan api di negara itu meningkat daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter.

“Jika sebelum ini, kami menjual diesel Malaysia antara RM3.20 hingga RM3.45 seliter tetapi sekarang, kami terpaksa menaikkan sedikit harga kerana menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan daripada pembekal utama kami di wilayah selatan,” kata peniaga diesel yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Cu.

Lelaki berusia 70 tahun itu yang mengusahakan gerai di Narathiwat berkata dia dan peniaga Thailand lain kini menjual diesel Malaysia antara RM4 hingga RM4.50 seliter kepada pemandu Thailand.

Beliau percaya peningkatan rondaan sempadan oleh agensi penguatkuasaan Malaysia terhadap penyeludupan diesel juga menjadi punca kekurangan bekalan.

Sementara itu, tinjauan di Takbai dan Sungai Golok menunjukkan jumlah gerai di sepanjang jalan utama yang menjual minyak Malaysia menunjukkan penurunan secara drastik.

Jika sebelum ini terdapat kira-kira 40 gerai tetapi baru-baru ini jumlahnya kurang daripada 30.

Pemandu Thailand membeli minyak Malaysia kerana harganya yang murah berbanding dijual di negara mereka.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin lalu.

Amir Hamzah berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula ‘Automatic Pricing Mechanism’.

Penyasaran subsidi diesel itu dijangka dapat menjimatkan RM4 bilion serta memberi ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pelbagai perkhidmatan yang menjadi kepentingan rakyat.

Berikutan itu, bagi mengurangkan kesan harga diesel baharu, kerajaan memperkenalkan program bantuan tunai komoditi Budi Madani individu dan Budi Madani Agro yang membabitkan 30,000 individu yang layak menerima RM200.

Sabtu lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh dilaporkan berkata kekurangan aktiviti penyeludupan diesel dapat dilihat melalui penurunan jualan diesel di sempadan.

Fuziah ketika program bual bicara eksklusif dengan New Straits Times `Beyond the Headlines’ dilaporkan berkata walaupun data tepat daripada Kementerian Kewangan masih belum ada, trend ketara dapat dilihat dalam penjualan diesel.

Source : Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts