NAIROBI: Presiden Sudan Selatan, Salva Kiir bertindak memecat menteri kewangannya, Awow Daniel Chuong yang baru empat bulan berkhidmat, iaitu kali keenam bagi jawatan itu sejak 2020.
Kiir bagaimanapun tidak memberi sebarang kenyataan mengenai punca beliau memecat Chuong yang dilantik pada Mac lalu.
Dilaporkan, Ahli Ekonomi, Marial Deng telah dipilih bagi menggantikan jawatan menteri kewangan berkenaan.
Ekonomi Sudan Selatan mengalami tekanan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dengan hasil eksport minyak mentah semakin berkurangan sejak perang saudara pada 2013 hingga 2018 serta gangguan eksport akibat perang di Sudan baru-baru ini.
Gabenor Bank Pusat, James Alic Garang, berkata rizab pertukaran asing Sudan Selatan berada pada paras terendah dalam sejarah pada Mei lalu.
Sementara itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan inflasi harga pengguna pada paras tinggi 54.8 peratus tahun ini.
Kiir menjadi presiden pertama Sudan Selatan pada 2011 apabila negara itu memperoleh kemerdekaan daripada Sudan.
Sudan Selatan akan melaksanakan pilihan raya presiden, ahli parlimen dan wakil wilayah pada Disember depan.