SEPANG: Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka beroperasi semula pada 31 Januari depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dua daripada tiga set Aerotrain sudah tiba di KLIA pada minggu lalu dan sedang melalui fasa pemasangan.
“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dijangka memulakan ujian terakhir pada pertengahan Januari (2025). Sekiranya semua ujian ini dapat dijalankan dengan baik dan lulus, maka Aerotrain dijangka beroperasi pada 31 Januari 2025,” katanya selepas meninjau dan memeriksa Aerotrain baharu di KLIA di sini, pada Isnin.
Anthony Loke memberitahu, pemeriksaan dinamik bermula pada Oktober ini, dengan Aerotrain terbabit akan diuji menggunakan trek sebenar serta melakukan perkhidmatan berulang-alik.
Pada masa sama, Anthony mengingatkan kontraktor-kontraktor yang terlibat dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk melaksanakan pemantauan rapi dan memastikan semua proses serta ujian dijalankan dengan baik supaya tiada lagi kelewatan.
MAHB sebelum ini memaklumkan projek bernilai lebih RM700 juta dengan rekaan mesra pengguna itu akan beroperasi 24 jam setiap hari selain dilengkapi pakej penyelenggaraan operasi selama 10 tahun sehingga 2034.
Sebelum itu, pada Mac 2022, MAHB mengumumkan telah menganugerahkan Projek Penggantian Aerotrain KLIA, yang mempunyai garis masa untuk disiapkan selama tiga tahun.