fbpx

Lebih RM200,000 lesap ditipu individu menyamar pegawai LHDN, polis

ALOR SETAR: Seorang peniaga haiwan ternakan berusia 32 tahun menanggung kerugian RM202,909 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang mengatakan lelaki itu terlibat dalam kegiatan jenayah 21 Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berasal dari Sungai Petani itu menerima panggilan daripada seorang wanita yang mengaku pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurutnya, mangsa yang telah berkahwin itu dimaklumkan berhubung tunggakan cukai atas syarikat mangsa oleh wanita berkenaan sebelum dinafikannya.

“Sebaik menafikan tunggakan cukai itu, panggilan telah disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk membuat pengesahan.

“Selepas itu, panggilan disambungkan pula kepada seorang lelaki lagi yang mengaku pegawai polis berpangkat Datuk dari IPK sama konon pegawai atasan kepada inspektor itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Elias berkata, suspek meminta mangsa membuka aplikasi WhatsApp sebelum lelaki itu menerima satu mesej dengan notis yang mendakwa dirinya terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan penjualan dadah.

Katanya, mangsa kemudiannya diarahkan membuka pautan URL yang diberikan untuk mengisi maklumat peribadinya untuk siasatan lanjut.

“Mangsa terus membuka pautan URL diberikan dan mengisi butiran peribadi dan butiran syarikatnya tanpa membuat semakan terlebih dahulu,” katanya.

Dalam pada itu Elias berkata, mangsa yang berasa curiga membuat semakan baki akaun syarikatnya pada hari sama dan mendapati berlaku lapan pindahan wang secara dalam talian ke enam akaun berbeza sebanyak RM202,909.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan polis pada Rabu di Baling dan kertas siasatan berhubung kes berkenaan telah dibuka dengan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Elias berkata, orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan-panggilan diterima terutamanya mereka yang mengaku dari agensi kerajaan yang meminta maklumat akaun bank untuk tujuan siasatan ataupun lain-lain tujuan.

“Hal ini disebabkan ada sindiket jenayah menggunakan modus operasi sedemikian untuk tujuan penyamaran dan menipu mangsa-mangsa,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts