fbpx

Agong zahir simpati kepada mangsa banjir, seru pihak berkuasa hulurkan bantuan

KUALA LUMPUR: 5 Jan  — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa simpati kepada mangsa bencana banjir di beberapa negeri, khususnya di Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Perak dan Selangor. 

Dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar semua mangsa banjir tabah mengharungi dugaan dan musibah yang menimpa mereka.

Seri Paduka Baginda juga menyeru pihak berkuasa, khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), supaya terus menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri yang terjejas.

“Rakyat, khususnya di kawasan rendah, pula dinasihati untuk sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri, keluarga serta bersedia berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan segera jika diarahkan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu. 

Mengambil kira kenaikan mendadak kes positif COVID-19 harian di negara ini, Seri Paduka Baginda menitahkan supaya aspek norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) diamalkan semua petugas dan mangsa banjir serta menjadi keutamaan di semua PPS bagi membendung penularan wabak COVID-19. 

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan mencemar duli mengadakan lawatan mengejut, bertemu mangsa banjir yang ditempatkan di empat PPS di Maran, Pahang (Sekolah Menengah Kebangsaan [SMK] Maran, Surau Kampung Jara, Sekolah Kebangsaan [SK] Kuala Sentul dan Masjid As Syakirin). 

Kenyataan itu menyebut Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa banjir yang berada di PPS itu dan mengurniakan sumbangan kepada mereka bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Nadma, Kerajaan Negeri dan Pentadbiran Daerah serta agensi penyelamat dan jabatan kerajaan seperti polis, bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertungkus lumus membantu rakyat setiap kali banjir,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Seri Paduka Baginda mengajak seluruh rakyat mendoakan bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda.

Hujan lebat sejak Sabtu lepas menyebabkan banjir di enam negeri – Johor, Pahang, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Perak – dengan Johor dan Pahang terjejas teruk apabila ramai mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke PPS.

Gambar: Keluarga.my
Sumber: BERNAMA

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts