fbpx

Vaksin COVID-19: Malaysia bersedia daripada segala aspek termasuk logistik mampan


KUALA LUMPUR:
 Tahun 2021 menjadi fasa di mana dunia memberi tumpuan penuh kepada isu vaksin, baik menyentuh soal usaha dalam membangunkan jaminan bekalan mampan, program imunisasi COVID-19 kebangsaan mahupun aspek kebersediaan logistik dan pengedaran.

Sebagai rekod, Malaysia ketika ini bakal memuktamadkan perjanjian dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan tambahan vaksin mencecah hampir 83 peratus penduduk. Kini, jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus populasi sudah diperolehi meliputi CoronaVac, Pfizer dan AstraZeneca.

Selaras dengan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membangunkan program vaksinasi COVID-19 di negara ini dan menyasarkan ia dapat diselesaikan pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, program vaksinasi tersebut akan melibatkan tiga fasa, yang mana fasa pertama dijangka dilaksanakan pada Mac ini dengan melibatkan setengah juta vaksin untuk petugas barisan hadapan.

Program vaksinasi itu akan melibatkan tiga fasa dengan fasa pertama dijangka bermula pada Mac ini.

Beliau yang memberi respond pada sesi taklimat media darurat COVID-19 KKM yang diadakan secara maya baru-baru ini turut berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dan penilaian keberkesanan vaksin tersebut dalam tempoh terdekat dan jangka panjang.

Hal berkaitan bekalan mampan dan akses vaksinasi perlu menjadi keutamaan, bagaimanapun perkara dalaman seperti; adakah negara sudah betul-betul bersedia daripada segi logistik turut wajar diberi perhatian khusus bagi mengelak timbulnya sebarang masalah apabila vaksin tiba di Malaysia kelak.

Ini kerana kita tidak mahu Malaysia berdepan isu sama seperti dihadapi Amerika Syarikat, apabila proses pemberian vaksin COVID-19 kepada jutaan rakyat negara itu bermula lewat dan tidak kemas sebagaimana diharapkan oleh pegawai kesihatan awam dan pegawai Operation Warp Speed Trump.

Bagaimanapun Malaysia ketika ini yakin bersedia daripada aspek logistik berdasarkan kepada pelan-pelan yang dirancang selain usaha persediaan dilakukan pelbagai pihak khususnya Pharmaniaga Bhd. (Pharmaniaga), selaku syarikat dilantik dalam menguruskan logistik dan pengedaran vaksin.

Kapasiti gudang-gudang Pharmaniaga mampu menyimpan vaksin berjumlah mencecah 30 juta vial pada bila-bila masa.

Pengarah Logistik dan Edaran Pharmaniaga, Abdul Malik Mohamed berkata, pihaknya bersedia untuk membuat pengedaran vaksin COVID-19 dengan efisien sebaik sahaja menerima arahan daripada kerajaan.

“Gudang-gudang Pharmaniaga mempunyai kapasiti yang mencukupi bagi penyimpanan vaksin dengan julat suhu dua hingga lapan darjah Celsius. Jumlah kapasiti kami hampir mencecah 30 juta vial pada bila-bila masa.

“Bagi penyimpanan dan penghantaran vaksin yang memerlukan suhu yang ekstrem, pihak Pharmaniaga akan berbincang dengan syarikat pengeluar vaksin tersebut apabila kerajaan telah membuat keputusan pelantikan vendor,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini.

Pharmaniaga bersedia untuk membuat pengedaran vaksin COVID-19 dengan efisien sebaik sahaja menerima arahan daripada kerajaan. – Abdul Malik

Menurut beliau, dalam usaha meningkatkan lagi kecekapan proses logistik dalam persiapan untuk mengedarkan vaksin COVID-19 di Malaysia, Pharmaniaga memilih Oracle Fusion Cloud Supply Chain & Manufacturing (SCM) sebagai pemudahcara untuk lebih efisien dalam pengurusan logistik dan edaran.

Jelas Abdul Malik, dengan Oracle Cloud SCM, syarikat itu dapat mengautomasi perancangan dan pelaksanaan selain mampu mencapai penghantaran masa nyata (real time shipment) bagi meningkatkan kecekapan dan keselamatan operasi logistiknya.

Pharmaniaga akan membekalkan 12 juta dos vaksin CoronaVac COVID-19 kepada KKM susulan permeteraian perjanjian oleh kedua-dua pihak.

“Syarikat memerlukan platform logistik berasaskan awan (cloud) untuk mengautomasi proses manual dan meningkatkan kebolehkesanan serta keselamatan rangkaian perkhidmatan sejuk.

“Menerusi aplikasi internet benda (IoT) dan logistik Oracle Cloud SCM, syarikat itu berada pada landasan terbaik untuk menyampaikan vaksin COVID-19 dengan cekap dan selamat ke seluruh negara.

“Kami telah menyampaikan vaksin ke kemudahan kesihatan di Malaysia lebih 25 tahun dan memiliki rantaian infrastruktur sejuk yang kukuh, namun kami perlu mengurangkan proses manual untuk mencapai kecekapan optimum dalam pengedaran vaksin COVID-19,” ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya berhubung langkah atau proses agihan dilaksanakan Pharmaniaga dalam memastikan vaksin akan dibekalkan secara berperingkat kepada penduduk di bandar dan luar bandar, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan KKM mengenai isu ini.

“Antara perkara utama adalah bagi mengelakkan lambakan stok di stor penyimpanan hospital kerajaan melebihi dari kapasiti penyimpanan mereka. Justeru itu, kami akan bekerjasama dengan KKM agar penghantaran akan dibuat secara Just-in-Time (JIT) ke hospital-hospital mengikut kapasiti dan jadual vaksinasi yang akan diputuskan kerajaan.

“Kami juga memberikan tumpuan khusus daripada segi keselamatan pengedaran vaksin kerana ia akan menjadi produk yang amat dikehendaki. Pharmaniaga akan memperketatkan keselamatan di gudang-gudang, semasa proses pengangkutan dan juga di lokasi penyimpanan bagi mengelakkan kes tidak diingini berlaku,” jelasnya.

Sumber: Astro AWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts