fbpx

Kualiti ‘olimpik’ The White Tiger

DALAM kehangatan sambutan khalayak global terhadap kehadiran The White Tiger yang layak dikategorikan luar biasa tersebut, terselit juga komen-komen penonton yang tidak bersetuju dengan bahagian penamat naskhah berkenaan.

Ada yang berpendapat, Balram Halwai (lakonan Adarsh Gourav) sepatutnya terbang ke Amerika Syarikat dan berkasih-kasihan dengan Pinky (Priyanka Chopra). Ada juga yang berfikiran, klimaks karya adaptasi daripada novel berjudul sama tulisan Aravind Adiga tersebut terlalu terburu-buru.

Penulis faham, The White Tiger sekadar sebuah fiksyen. Tidak semua perkara di dunia akan memuaskan hati semua orang, satu bentuk seni bernama filem juga tidak terkecuali.

BUKAN sahaja terlibat sebagai pelakon, Priyanka turut bertindak sebagai penerbit eksekutif The White Tiger.

Penulis juga belum berpeluang membaca versi novel, namun daripada komen ramai, tidak banyak perubahan naratifnya setelah diangkat ke versi filem.

Secara peribadi, ingin sahaja penulis teriakkan, The White Tiger merupakan filem terbaik yang telah dihidangkan kepada dunia setakat ini!

Jadi, apa yang mengagumkan tentang karya berkenaan? Kebanyakan perkara yang direalisasikan termasuk pengarahan, efek bunyi, keindahan sinematografi, nilai budaya, sosial dan tentunya kemantapan barisan pelakon (terutama Adarsh Gourav sebagai pemain utama). Semuanya, kelas dunia!

The White Tiger hadir tepat pada waktu ketika kedangkalan, ketidakadilan dan kejumudan masih berserakan di serata pelusuk dunia. Jika semua itu terus dibiarkan melarat, penulis berharap banyak lagi ‘harimau putih’ terus mengaum demi menstabilkan putaran dunia yang sepertinya hanya berpusing untuk satu golongan sahaja iaitu, yang kaya dan mereka yang lahir dengan senduk emas.

THE White Tiger sarat dengan persoalan tangga sosial dan budaya golongan kasta rendah di India.

Jelmaan ‘Slumdog’

Berbalik soal teknikal, benar sentuhan Ramin Bahrani tersebut agak panjang durasinya iaitu 125 minit bersamaan lebih dua jam.

Aspek tersebut sebenarnya sudah cukup memaklum bahawa karya filem Bollywood banyak berdialog tentang sosio budaya masyarakat India.

Jika di Google atau menerusi pautan Wikipedia, banyak khalayak, khususnya warga Amerika Syarikat mendakwa filem berkenaan dibuat oleh pembikin Hollywood.

Bagi penulis, filem ini menjual budaya, adat resam dan ‘nilai berharga’ India yang kaya dengan bermacam perkara.
Amerika hanya boleh mendakwa begitu dan begini, namun filem yang dibentangkan menerusi penstriman global tersebut merupakan karya sejati India.

ADARSH melakonkan watak utama sebagai Baldram dengan cemerlang.

Pengarahnya berdarah India, majoriti pelakon terlibat juga orang India, bahkan kemungkinan besar, produsernya dan penulis juga menebal jati diri Indianya.

Boleh dikatakkan, The White Tiger merupakan sebuah jelmaan semula naskhah hebat kerjasama Bollywood-Britain berjudul Slumdog Millionaire yang menang besar dalam Academy Awards 2009, British Academy Film Awards dan Golden Globes.

Penulis sebenarnya tidak mahu berkias panjang tentang kualiti The White Tiger. Namun, jika khalayak perlukan motivasi untuk mengubah kehidupan daripada serendah-rendah tahap sosial menjadi orang penting dalam satu komuniti, inilah rujukannya.

Niat tidak menghalalkan cara terutama di Malaysia yang banyak pantang larangnya, namun tontonlah dan baru anda akan faham apa yang tersirat.

The White Tiger sebenarnya sudah tidak perlukan Oscar kerana kemenangan sudah berada dalam genggamannya.

Sumber: Kosmo!

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts