fbpx

Justin Timberlake mohon maaf malukan Britney Spears

LOS ANGELES: Bintang pop Justin Timberlake pada Jumaat mengeluarkan penyataan maaf secara terbuka yang ditujukan kepada bekas teman wanitanya Britney Spears dan penyanyi Janet Jackson, dengan menyatakan dirinya telah mengecewakan mereka pada masa lalu.
 
Timberlake menyatakan sedemikian menerusi akaun Instagramnya selepas menerima kritikan pada minggu ini di media sosial dan media arus perdana, berkenaan isi temu bual pada kira-kira dua dekad lalu berkenaan hubungan intimnya dengan Spears.
Kemarahan ramai itu berpunca daripada siaran dokumentari televisyen baru-baru ini tentang jatuh bangun karier Spears, termasuk ketika dia dimalukan di media selepas hubungannya dengan Timberlake berakhir pada tahun 2002.
 
Timberlake juga selama bertahun-tahun dicemuh kerana dikatakan gagal bertanggungjawab pada insiden ‘pakaian robek’ di atas pentas sempena pertunjukan separuh masa Super Bowl pada tahun 2004, hingga mengakibatkan payudara Janet Jackson terdedah.
 
“Saya secara khusus ingin memohon maaf kepada Britney Spears dan Janet Jackson secara peribadi, kerana saya sangat peduli dan hormat pada dua wanita ini, yang telah saya kecewakan,” ujar Timberlake.
 
Penyanyi lagu Sexy Back yang telah berkahwin dengan aktres Jessica Biel itu berkata, dia memohon maaf kerana tidak mengeluarkan kenyataan yang betul pada masa lalu.
“Saya faham tentang kekurangan saya pada waktu ini dan pada ketika yang lain, dengan memperoleh kelebihan daripada satu sistem yang tidak bermoral terhadap perkauman dan kebencian terhadap wanita,” ujarnya.
 
Justin Timberlake and Britney Spears at the MTV Video Music Awards in 2000
 
Timberlake dan Spears berpacaran selama kira-kira tiga tahun sebelum berpisah secara mengejut pada 2002. Spears kemudiannya dipertikai oleh media tentang isu ‘status dara’ sementara Timberlake pula terus meraih populariti apabila menghasilkan lagu Cry Me a River yang kononnya memberi isyarat bahawa Spears telah curang kepadanya.
 
Dalam pernyataan maaf pada Jumaat, Timberlake berkata industri hiburan ‘menyebelahi’ lelaki kulit putih untuk menempa kejayaan.
“Kerana kejahilan, saya tidak menyedari semua itu terjadi sedangkan ia berlaku dalam hidup saya sendiri,” katanya.
 
Wakil kepada Jackson dan Spears masih belum memberi ulasan tentang perkara itu

Sumber: Astro AWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts