LONDON: Putera Philip, suami kepada Ratu Elizabeth II dikejarkan ke hospital di London malam tadi sebagai ‘langkah berjaga-jaga’, maklum Istana Buckingham.
Sumber mendakwa ia bukan disebabkan gejala coronavirus.
Kerabat berusia 99 tahun difahamkan ‘bersemangat baik’ di Hospital King Edward VII di Marylebone.
Menurut Istana, baginda berasa tidak sihat petang kelmarin.
“Duke of Edinburgh, sebagaimana gelaran rasmi baginda, dijangka berada di hospital selama beberapa hari untuk pemantauan dan rehat,” menurut kenyataan istana.
Sumber memberitahu AFP bahawa baginda ke hospital bukan menaiki ambulans dan cukup sihat untuk berjalan ke hospital.
Kelihatan anggota polis berada di luar hospital yang terletak di pusat bandar London.
Sementara itu, Perdana Menteri, Boris Johnson, berkata beliau mengirimkan ucapan kepada Duke of Edinburgh yang sedang mendapatkan rawatan di hospital selama beberapa hari.
Keluarga kerabat diraja meneruskan tugas masing-masing semalam, dengan ratu bercakap dengan Laksamana Tentera Laut Diraja, Tony Radakin dari Istana Windsor, manakala Putera Charles dan Duchess of Cornwall mengunjungi sebuah hospital di Birmingham.
Putera Philip dan Ratu Elizabeth II, 94, mematuhi peraturan penjarakan fizikal di Istana Windsor kerana usia mereka mendedahkan kepada risiko tinggi dijangkiti COVID-19.
Pasangan diraja itu menerima suntikan vaksin pertama mereka pada bulan lalu, menurut istana dalam satu kenyataan umum yang jarang berlaku apabila menyentuh masalah kesihatan peribadi golongan itu.
Putera Philip bersara dari khidmat awam pada 2017 ketika berumur 96 tahun selepas dimasukkan ke hospital selama dua malam kerana jangkitan.
Baginda kemudiannya menjalani pembedahan pinggul pada 2018.
Pada Januari 2019, baginda muncul tanpa sebarang kecederaan selepas kenderaannya terbabit kemalangan jalan raya yang mencederakan dua orang berhampiran kawasan monarki itu di Sandringham dekat timur England.
Putera Philip turut pernah menghabiskan masanya selama empat malam di Hospital King Edward pada 2019, di mana baginda dirawat ketika dalam ‘keadaan separuh sedar’ dan dibenarkan discaj pada malam sambutan Hari Krismas.
Sepanjang pandemik COVID-19, baginda ada membuat beberapa penampilan di khalayak umum. – AFP
Sumber: Berita Harian