fbpx

Sindiket setem hasil, pas PLKS bernilai RM15 juta tumpas

TUJUH individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket penjualan setem hasil kerajaan dan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Sebanyak tujuh individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai terlibat dalam sindiket penjualan setem hasil kerajaan dan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang melibatkan kerugian hasil kerajaan melebihi RM15 juta.

Ketujuh-tujuh yang terlibat berusia di antara 30 hingga 39 tahun terdiri dari empat kakitangan sebuah syarikat percetakan keselamatan dan tiga orang awam.

Menerusi tangkapan yang dilakukan secara besar-besaran di sekitar Kuala Lumpur, semalam turut menemukan sejumlah 2,500 keping Setem Hasil Kerajaan bernilai RM250 dan RM10.00 dengan nilai keseluruhannya bernilai RM12.5 juta.

Memberitahu Utusan Malaysia, sumber berkata, setem hasil yang bernilai RM250 dijual di pasaran gelap dengan nilai RM40 hingga RM60.

Dedah beliau, manakala setem hasil bernilai RM10 pula dijual dengan harga RM5 hingga RM6.

“Setem hasil ini selalu digunakan oleh orang ramai sebagai bayaran duti setem bagi suatu perjanjian jual beli dan kebiasaannya dibeli di pejabat POS dan Cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

“Selain itu, sindiket ini juga turut menjual Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang mempunyai ciri-ciri keselamatan bagi kegunaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

SEJUMLAH 2,500 keping Setem Hasil Kerajaan bernilai RM250 dan RM10.00 dengan nilai keseluruhannya bernilai RM12.5 juta.

“Setiap PLKS ini dijual kepada warga asing di pasaran gelap dengan nilai RM700 hingga RM800 sekeping,” kata sumber itu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata sumber, bayaran sebenar bagi mendapatkan PLKS adalah antara RM2,000 hingga RM3,000 yang dikeluarkan oleh JIM mengikut sektor pekerjaan yang dipohon.

“Modus operandi sindiket ialah bayaran rasuah kepada kakitangan percetakan untuk mencuri keluar setem hasil dan sticker PLKS dari stor simpanan percetakan dan menjualnya di pasaran gelap melalui tiga orang awam yang lain.

“Sindiket ini dipercayai telah melakukan aktiviti mereka sejak tiga tahun dan mengaut keuntungan bernilai jutaan ringgit,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Kata beliau, kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009.

“SPRM memandang serius isu ini kerana ia melibatkan kerugian dan ketirisan kepada hasil kerajaan.

“Risikan ke atas sindiket ini telah berjalan lebih 6 bulan hasil kerjasama SPRM dan Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

Sumber: UTUSAN ONLINE

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts