fbpx

Seleweng RM3.1 juta, 7 kakitangan JPJ direman

Foto: Suara Merdeka

JOHOR BAHRU: Tujuh petugas kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, ditahan reman tujuh hari bermula hari ini sehingga 28 Februari ini.

Ia bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) membabitkan lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor membabitkan nilai mencecah RM3.1 juta.

Majistret Nurmadiana Mamat memerintahkan reman berkenaan terhadap semua suspek yang berusia 27 hingga 42 tahun itu selepas ia dimohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor.

Kesemua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Semalam, SPRM Johor dilaporkan menahan tujuh petugas JPJ Johor bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan urusan cukai jalan LKM yang dipercayai hasil perbuatan salah guna kuasa oleh kakitangan berkenaan dengan menceroboh sistem JPJ.

Kesemua kakitangan berkenaan dilaporkan ditahan antara 11 pagi hingga 1 tengah hari semalam dan dipercayai bertugas di JPJ Johor Bahru di Taman Daya, di sini.

Menurut sumber, mereka dipercayai memanipulasi sistem MySIKAP bagi urusan cukai jalan LKM yang mana jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Johor mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang berada di Johor Bahru semalam bagi menghadiri mesyuarat bersama SPRM Johor dilaporkan mengesahkan tangkapan berkenaan.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts