fbpx

Doakan Awang Rasau sihat

KUALA LUMPUR: Bukan sebutir sebaliknya lima butir peluru senapang patah dikesan terbenam dalam tubuhnya.

Itu penderitaan dialami harimau jantan bernama Awang Rasau yang terpaksa menjalani pembedahan semalam bagi mengeluarkan peluru hidup dari dalam tubuhnya.

Harimau Malaya seberat 160 kilogram sebelum ini ditangkap di ladang sawit di Felda Kerteh 3, Terengganu selepas dikesan penduduk muncul di kawasan itu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tembakan dilepaskan pemburu haram ke belakang tubuh haiwan liar itu mengakibatkan kecederaan parah selain punca kedua-dua kaki belakang harimau itu lumpuh.

Menurutnya, harimau itu ditangkap jam 11.30 pagi, 22 Februari lalu oleh 15 anggota Perhilitan Dungun dan Kemaman sebelum dipindahkan ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak untuk rawatan susulan.

Dia berkata, harimau berusia lebih 15 tahun itu menunjukkan perkembangan positif antaranya peningkatan selera makan dan mampu mengangkat kepala serta mengubah kedudukan badannya apabila menerima sentuhan.

“Berdasarkan pemeriksaan awal, satu peluru ditembak individu atau pemburu haram terbabit menembusi dan mengenai saraf tunjang di tulang belakang harimau.

“Ia berkemungkinan menyebabkan sistem saraf harimau itu gagal berfungsi. Ia ada kaitan dengan kedua-dua kaki belakang haiwan itu yang lumpuh,” katanya,

Dia berkata, harimau itu terpaksa ditempatkan di dalam kurungan sementara bagi proses kuarantin dijalankan.

“Itu antara prosedur perlu dilakukan sebelum harimau berkenaan menjalani imbasan sinar-X dan pembedahan hari ini (semalam).

Petugas dan doktor Perhilitan menggunakan ubat pelali bagi membolehkan prosedur rawatan dan pembedahan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keputusan sinar-X diperoleh, ada lima butir peluru penabur ditembak menggunakan senapang patah di dalam tubuh harimau itu.

“Satu peluru menembusi kulit haiwan itu berjaya dikeluarkan melalui pembedahan. Manakala peluru lain berada agak dalam. Ia memerlukan peralatan dan pembedahan khusus mengeluarkannya.

“Proses pembedahan bermula jam 10.30 pagi semalam mendapati harimau itu pernah beberapa kali ditembak. Namun bernasib baik apabila kecederaan lama itu tidak serius,” katanya.

Menurutnya, pihak Perhilitan menggunakan kepakaran dan melakukan segala termampu bagi menyelamatkan harimau itu yang dikhuatiri mengalami kecacatan kekal.

“Sebelum ini harimau itu hanya mampu terbaring dan mengesot. Keadaannya memang menimbulkan rasa simpati. Pihak Perhilitan akan memberi sepenuh tumpuan menyelamatkan haiwan liar ini, selain bantuan pakar saraf Hospital Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya.

Dalam kejadian 21 Februari lalu, pihak Perhilitan yang menerima aduan kemunculan Awang Rasau menjaya menangkap haiwan itu di kawasan hutan berhampiran lokasi dia dilihat penduduk kampung.

Siasatan mendapati harimau terbabit cedera di dada, perut dan belakang dipercayai terkena tembakan pihak tidak bertanggungjawab.

Susulan itu Jabatan Perhilitan memohon orang ramai sentiasa mendoakan Awang Rasau bertambah sihat untuk dilepaskan semula ke habitat asalnya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts