fbpx

LIMA’ 21 tetap tidak diadakan

Juruterbang TUDM bersiap sedia untuk memulakan pertunjukan udara sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA'19) di Pusat Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC). Foto: arkib NSTP

KUALA LUMPUR: Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2021 (LIMA’21) tetap tidak akan diadakan tahun ini walaupun ada permintaan untuk ia dilaksanakan secara maya, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pihaknya banyak menerima cadangan untuk melaksanakan penganjuran LIMA’21 yang sebelum ini sudah dibatalkan berikutan penularan wabak Covid-19 termasuklah untuk diadakan secara maya dan LIMA seterusnya akan diadakan pada 2023.

“Keputusan untuk mengadakan pameran LIMA pada 2023 masih lagi dikekalkan dan tiada perubahan setakat ini.

“Selain itu, ramai orang menganggap pada 2023 itu, (pemberian) vaksin Covid-19 di seluruh dunia sudah selesai. Kita pun berkemungkinan semua sudah dapat vaksin waktu itu (2023) maka peluang membuka (penyertaan LIMA) itu lebih besar untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas perkembangan lanjut penganjuran pameran LIMA’21 selepas menjadi tetamu jemputan program ‘Ruang Bicara : Setahun Malaysia Prihatin’ terbitan Bernama TV di sini malam tadi.

Ismail Sabri berpendapat sekiranya vaksin Covid-19 sudah diterima pada tahun 2023 maka tiada masalah untuk mengadakan pameran itu secara fizikal.

Pameran LIMA’ 21 sepatutnya diadakan pada 16 hingga 20 Mac tahun ini.

Ia terpaksa dibatalkan berikutan Covid-19 yang melanda dunia ketika ini memberikan impak besar bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga di seluruh dunia, dan wabak ini dilihat masih belum dapat ditangani sepenuhnya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan penganjuran pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA), beliau berkata, DSA mungkin dapat diadakan tahun depan.

“Pihak saya masih lagi menunggu keputusan daripada bahagian dasar untuk mengkaji dan melihat terlebih dahulu mengenai cadangan penganjuran DSA pada tahun berkenaan (tahun 2022),” katanya.

Pameran DSA dijadualkan berlangsung antara 28 hingga 31 Mac 2022.

Acara mega itu, antara lainnya akan menumpukan segmen yang bukan setakat berkaitan platform pertahanan tetapi juga pertahanan siber, sistem kawalan jarak jauh, penjagaan kesihatan di medan perang selain menyediakan pelbagai peluang bagi pakatan strategik, kerjasama perniagaan dan jaringan antara penggiat utama pertahanan dengan agensi keselamatan dan kerajaan.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts