fbpx

Tuan rumah tak tentu menang

Foto: FB Johor Southern Tigers

KUALA LUMPUR: Kelebihan beraksi di halaman sendiri bukan jaminan buat skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang Piala Sumbangsih apabila pencabarnya, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dilihat mampu membuat kejutan di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Ia bersandarkan kepada pemerhatian dua otai bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir dan B Sathianathan yang beranggapan elemen semangat serta tempoh persiapan pendek bakal menyajikan peluang seimbang buat kedua-dua pasukan.

Jamal, 66, yang juga bekas pemain Harimau Malaya era 1970-an berkata, JDT sebuah pasukan serba lengkap yang dicanang dari awal sebagai calon pemenang pada aksi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M) musim ini itu.

Namun, beliau mengingatkan skuad Helang Merah yang dibimbing Aidil Sharin Sahak boleh merentap ego tuan rumah yang turun dalam misi mempertahankan trofi dimenangi musim lalu itu.

Katanya, semangat juang tinggi jadi modal mujarab buat KDA FC bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim buat mengecewakan anak buah Benjamin Mora.

“Mungkin kadang-kadang bila kita lawan dengan pasukan lebih kuat, semangat kita melonjak lebih untuk mencari kemenangan. Ada kemungkinan kemenangan berpihak kepada Kedah (KDA FC), tak mustahil.

“Tapi kalau tengok atas kertas memang JDT boleh menang. Tapi dari segi realiti tak tahu, sebab semangat yang lebih boleh membuatkan Kedah main lebih baik,” katanya, semalam.

Gambaran sama turut diluahkan Sathianathan yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Teknikal Sarawak United dengan beliau melihat peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50.

Kata Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) itu lagi, aksi pertama buat mana-mana pasukan dalam saingan liga biasa sukar diramal, ditambah pula dengan tempoh persiapan pramusim yang pendek selama empat minggu turut mempengaruhi aksi malam ini.

“Untuk perlawanan esok (malam ini), saya nampak biasa aksi pertama memang susah. Malah, latihan (pramusim) pun dijalankan tak sampai empat minggu, jadi dua-dua pasukan tak cukup masa nak perkemaskan pasukan.

“Kelebihan sebagai tuan rumah tak semestinya boleh menang, saya lihat aksi ini 50-50. Tapi kalau tanya pasukan yang boleh jadi juara Liga Super di akhir musim, saya jawab JDT sebab pasukan lain nampak belum bersedia nak cabar JDT,” kata bekas jurulatih kebangsaan itu.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts