fbpx

Penduduk kecewa SADA gagal hantar air ikut jadual

BOK Che Napiah (kiri) memasukkan air yang dihantar oleh SADA ke dalam sebuah tangki di Kampung Tengku Laksamana, Kuala Kedah semalam. -UTUSAN/MOHD ZAID MOHD NOOR

ALOR SETAR: Lebih 300 penduduk di dua buah kampung di Kuala Kedah di sini kesal terhadap Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang gagal menghantar bekalan air bersih mengikut jadual yang ditetapkan sehingga menimbul banyak kesulitan kepada penduduk terlibat menjalani kehidupan seharian.

Penduduk dari Kampung Tepi Laut dan Tengku Laksamana itu mendakwa gangguan bekalan air telah berlarutan lebih 10 tahun lalu tetapi kini memasuki fasa kritikal apabila mereka langsung tidak mendapat bekalan air menerusi paip sejak setahun lalu.

Malah, terdapat dalam kalangan penduduk terlibat menganggap mereka seperti tinggal di padang pasir kerana terpaksa membeli air berikutan kesukaran mendapatkan bekalan air.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di sini semalam, seorang penduduk, Bok Che Napiah, 55, dari Kampung Tengku Laksamana berkata, pihak SADA sepatutnya menghantar bekalan air dengan lori dua hari sekali, namun mereka hanya dibekalkan air kira-kira seminggu sekali sahaja.

Malah katanya, SADA didapati tidak menghantar bekalan air di dua kampung tersebut dalam tempoh lapan hari berturut-turut, baru-baru ini sehingga penduduk merasakan mereka dianiayai.

“Penduduk di dua buah kampung ini kecewa terhadap SADA yang tidak prihatin dengan nasib mereka yang hidup menderita kerana tidak menghantar bekalan air dalam tempoh yang lama.

“Walaupun aduan terhadap masalah tersebut sering dilaporkan kepada pihak SADA, namun tindakan yang diambil didapati lambat dengan pelbagai alasan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Cik Awang Bakar, 57, berkata, dia mendapati SADA tidak serius dalam membantu penduduk terlibat apabila gagal menghantar bekalan air secukupnya dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, keadaan itu menimbulkan masalah kepada penduduk yang ingin mandi, membasuh pakaian, minum dan memasak pada setiap hari.

“Saya terpaksa menghantar pakaian ke kedai dobi untuk dibasuh dalam masa tiga hari sekali kerana tidak mempunyai bekalan air secukupnya untuk membasuh pakaian,” ujarnya.

Penduduk, Zamri Osman, 49, pula berkata, dia merasakan berada di kawasan padang pasir kerana terpaksa membeli air penapis untuk kegunaan memasak dan minum.

Katanya, dia juga memerlukan bekalan air yang banyak kerana berniaga nasi lemak.

“Sehubungan itu, saya terpaksa membeli lebih 50 liter air penapis yang berharga kira-kira RM20 untuk memasak nasi lemak dan kegunaan keluarga setiap hari,” katanya.

Sumber: UTUSAN ONLINE

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews