fbpx

Sedia hadapi cabaran KDA FC

KOTA KINABALU: Walaupun akui berdepan tugas sukar, pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto tetap yakin anak didiknya mampu memberi saingan sengit kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini.

Katanya, kejayaan mereka mencuri satu mata ketika bertemu Melaka United di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu, memberi suntikan semangat kepada mereka untuk terus memburu mata di gelanggang lawan.

“Kedah ialah juara Piala FA dua tahun lalu dan naib juara Liga Super musim lalu, mereka tentunya bukan lawan yang mudah kerana mereka pasukan yang mantap.

“Ia adalah cabaran buat kami tetapi saya tetap percaya dengan kemampuan dimiliki pemain yang ada dalam skuad sekarang, mereka juga sangat bersemangat dan mudah-mudahan strategi kami juga menjadi kali ini.

“Staf kejurulatihan juga telah membuat analisa bagaimana Kedah bermain, kita cuba untuk membuat taktikal melawan Kedah dan berharap ia boleh berjalan dengan baik sesuai dengan apa yang kita rencanakan…kami akan cuba yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Kurniawan enggan mendedahkan kesebelasan utamanya namun menegaskan hanya pemain yang cergas sepenuhnya akan disenaraikan.

Beliau berkata, beberapa perubahan mungkin dilakukan berikutan ada pemain yang beraksi Sabtu lalu mengalami kecederaan.

“Mungkin ada sedikit perubahan disebabkan ada pemain alami kecederaan. Saya tahu mereka tetap semangat dan mahu bermain tetapi seperti yang saya tegaskan sebelum ini, kami tidak mahu memaksa pemain yang tidak seratus peratus bersedia, kita kena fikir risiko dan karier mereka juga,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts