fbpx

Dari pawagam ke rumah

KUALA LUMPUR: Sempat ditayangkan di pawagam selama lima hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.1 dilaksanakan, tahun lalu, filem Bulan & Pria Terhebat arahan Ghaz Abu Bakar, akhirnya menemui penonton di rumah, mulai esok.

Filem menggandingkan pelakon sensasi, Zizan Razak dan Zahirah MacWilson ini ditayangkan di platform Astro First, sekali gus menamatkan penantian peminat terhadap filem Melayu baharu pada era pandemik COVID-19 ini.

Ketika ditayangkan dalam tempoh singkat di Malaysia, Singapura dan Brunei, tahun lalu, Bulan & Pria Terhebat mendapat sambutan positif peminat.

Apa yang menarik, filem hasil kreativiti pengarah Polis Evo 1 ini mengangkat tema ‘hero’ wanita, sesuatu yang dianggap segar dalam dunia penceritaan tempatan.

Filem Bulan & Pria Terhebat arahan Ghaz Abu Bakar menggandingkan Zizan Razak, Zahirah MacWilson, Bell Ngasri dan Alif Hadi. - Foto Astro
Filem Bulan & Pria Terhebat arahan Ghaz Abu Bakar menggandingkan Zizan Razak, Zahirah MacWilson, Bell Ngasri dan Alif Hadi. – Foto Astro

Dalam filem ini, kemampuan Zahirah membawa adegan lasak yang tidak pernah diperlihatkan dalam mana-mana filem, dipertontonkan.

Selain itu, Bulan & Pria Terhebat menampilkan Maya Karin membawa watak antagonis bernama Tony, buat kali pertama.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Nizra Entertainemt, Nik Iruwan Datuk Nik Izani berkata, sambutan peminat ketika Bulan & Pria Terhebat ditayangkan di pawagam, cukup memberangsangkan.

“Selepas berbincang dengan rakan penerbit dan mengambil kira faktor semasa, kami memilih menayangkan Bulan & Pria Terhebat di platform Astro First.

“Kami percaya, dalam keadaan norma baharu sekarang, platform Astro First mampu membawa karya ini terus kepada penonton secara menyeluruh.

“Harapan kami, kehadiran filem dapat menghiburkan penonton dengan hasil kualiti produksi yang menampilkan keunikan tersendiri,” katanya kepada BH Online.

Aktres Maya Karin turut membintangi filem Bulan & Pria Terhebat. - Foto Astro
Aktres Maya Karin turut membintangi filem Bulan & Pria Terhebat. – Foto Astro

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, seiring sambutan Hari Wanita Antarabangsa, bulan ini, watak hero wanita yang diangkat dalam filem berkenaan pasti menarik perhatian ramai.

“Kami percaya, elemen hero wanita sentiasa menjadi perhatian penggemar filem. Selepas treler versi baharu dikongsi dalam akaun media sosial, baru-baru ini, rata-rata peminat dan penonton berkongsi rasa teruja menantikan kehadiran filem ini.

“Kami yakin, tahun lalu, ramai yang tidak sempat untuk menonton filem ini di pawagam. Kami berharap dengan menayangkan di Astro First, ia mampu memberi kepuasan kepada penonton.

“Filem ini boleh dinikmati seluruh isi keluarga melalui elemen komedi, jalan cerita, sinematografi dan barisan pelakon hebat,” katanya.

Antara tarikan filem komedi aksi ini adalah lakonan mantap Zizan, Maya Karin, Khir Rahman, Bell Ngasri, Didie Alias, Rashidi Ishak, Alif Hadi, Mimi Ernida dan Marisa Yasmin.

Kali ini, Zizan membawa watak berbeza berbanding karakter yang pernah ditampilkan sebelum ini, iaitu seorang pemandu e-hailing yang meminati sukan papan luncur.

Malah, gandingan Zizan bersama Bell dan Alif mampu membuat penonton terhibur, sekali gus menjadi trio kegemaran ramai.

Zahirah MacWilson janjikan kelainan dalam "Bulan dan Pria Terhebat" | News  & Features | Cinema Online

Bulan & Pria Terhebat mengisahkan Bulan, pelatih dalam pasukan tentera khas Indonesia, menyeludup ke dalam sindiket pemerdagangan manusia bagi mencari adiknya, Melati, yang diperdaya dan dibawa ke Malaysia untuk dijadikan gadis liburan.

Bulan bertemu Haris, pemandu e-hailing yang prihatin dan sudi membantunya mendapatkan kembali Melati daripada genggaman ‘bapa ayam’, Agus dan ketuanya, Ricky. Ricky mengarahkan Tony, iaitu pembunuh upahan untuk menghapuskan Bulan dan Haris.

Filem ini diiringi lagu tema bertajuk Roulette nyanyian Akim & The Majistret. Lagu berentak rancak ini dicipta Hang Nadim, Gjie dan Beby dengan lirik dihasilkan Hang Nadim.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews