fbpx

Ratu ikrar tangani dakwaan Harry, Meghan

Britain's Queen Elizabeth-GettyImages

LONDON: Ratu Elizabeth II semalam menzahirkan kebimbangan mendalam dan simpati terhadap masalah dihadapi Putera Harry, bersama isterinya, Meghan, dalam mengharungi kehidupan diraja.

Baginda sekali gus memberi maklum balas kepada isu perkauman didakwa oleh pasangan itu dalam wawancara bersama Oprah Winfrey yang kali pertama disiarkan, Ahad lalu.

“Seluruh keluarga berduka selepas mengetahui betapa mencabarnya keadaan terpaksa ditempuhi Harry dan Meghan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Isu dibangkitkan, terutama mengenai kaum, adalah membimbangkan. Walaupun beberapa peristiwa yang diingati mungkin berbeza, ia diberikan perhatian sangat serius dan akan ditangani oleh keluarga secara peribadi.

“Harry, Meghan dan Archie (anak pasangan itu) akan sentiasa menjadi ahli keluarga yang amat disayangi,” katanya dalam satu kenyataan.

Istana Buckingham berdepan tekanan kuat untuk memberi maklum balas terhadap dakwaan dibuat dalam wawancara berkenaan yang kini mencetuskan krisis, selepas berlalu kisah kehidupan menyedihkan ditempuhi mendiang ibu Harry, Puteri Diana, pada 1990-an.

Ia turut menimbulkan spekulasi hangat mengenai identiti ahli keluarga diraja kanan yang didakwa bertanya sejauh mana gelapnya kulit bayi Harry bersama Meghan ketika anak itu masih berada dalam kandungan.

Meghan yang mempunyai ibu berkulit hitam dan bapa berkulit putih, turut mendedahkan pernah terlintas fikiran membunuh diri tetapi gagal menerima sebarang sokongan ketika berada dalam keluarga diraja itu.

Bapa Harry yang juga pewaris takhta, Putera Charles dilaporkan enggan melayan pertanyaan berhubung isu wawancara terbabit, ketika membuat kemunculan awam pertama selepas krisis itu meletus.

Tinjauan pendapat oleh YouGov membabitkan 4,656 orang selepas wawancara itu disiarkan melalui televisyen Britain, kelmarin, menunjukkan hampir satu per tiga (32 peratus) berpendapat pasangan itu dilayan dengan tidak adil.

Bagaimanapun, jumlah mereka yang berpendapat sebaliknya juga mencatatkan angka sama.

Hasil tinjauan itu mendapati golongan tua lebih cenderung untuk memihak kepada keluarga diraja. – AFP

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts