fbpx

Top Glove mengaku tidak bersalah gagal sedia penginapan sempurna

IPOH: Syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini, atas 10 pertuduhan gagal menyediakan penginapan sempurna kepada pekerja mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Tertuduh yang diwakili pengarah syarikat membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyediakan penginapan yang tidak memenuhi keperluan Perakuan Penginapan daripada ketua pengarah Tenaga Kerja (JTK) bagi pekerja asing seperti mana kehendak Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Tasek Mutiara 2, Pusat Perdagangan Tasek Mutiara pada masa berbeza, 26 November 2020.

Oleh yang demikian tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24D(3) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim dan Zaihas Mohd Syakir Hasfar manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela Chew Jee San.

Mahkamah menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 26 November lalu, satu daripada asrama tempat penginapan pekerja syarikat berkenaan di kawasan perumahan Tasek di sini, didapati melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Kesalahan itu dikesan dalam operasi JTK bersama Jabatan Kesihatan Perak.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts