fbpx

Guru rugi RM28,000 ditipu Macau Scam

KUANTAN: Seorang guru di Temerloh kerugian RM28,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai pendapatan selain terbabit dalam penyeludupan dadah.

Wanita berusia 27 tahun itu dihubungi dua individu yang memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai pendapatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek juga mendakwa mangsa mempunyai rekod penyeludupan dadah bernilai RM28,000.

“Suspek kemudian menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah itu secara dalam talian. Mangsa kemudian membuat pindahan wang sebanyak RM28,000 ke dalam satu akaun diberikan suspek.

“Selepas itu mangsa cuba menghubungi suspek namun mendapati talian disekat, sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang wanita di Temerloh terpaksa menanggung kerugian RM6,520 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud, 9 Mac lalu.

Beliau berkata, mangsa pada mulanya berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM10,000 selepas melihat tawaran iklan pinjaman peribadi di Facebook.

“Mangsa kemudian berhubung dengan seorang individu sebelum diminta untuk membuat pelbagai bayaran untuk mendapat pinjaman berkenaan sehingga menjadikan jumlah keseluruhan RM6,520,” katanya.

Katanya, namun sehingga kini mangsa masih belum menerima bayaran pinjaman wang berkenaan sebelum wanita itu membuat laporan polis di IPD Temerloh semalam.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis sedang mengesan nombor telefon digunakan suspek serta pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts