fbpx

Rasuah JPJ mungkin babit pegawai atasan – Akhbar Satar

Pegawai SPRM membawa dua pegawai JPJ yang disyaki menerima suapan daripada pengusaha syarikat pengangkutan lori sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan lebih muatan untuk pertuduhan di Kompleks Mahkamah Shah Alam, semalam. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Salah laku rasuah membabitkan 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam dipercayai mempunyai rangkaian lebih besar termasuk pembabitan pegawai kanan jabatan itu.

Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar, berkata kebiasaannya kes sedemikian berlaku dengan pembabitan pegawai berpangkat lebih tinggi dan akan diketahui selepas penahanan demi penahanan dilakukan SPRM.

Beliau berkata masalah membelenggu penjawat awam ketika ini adalah berkaitan isu integriti yang bukan sahaja terjadi dalam kalangan orang bawahan, bahkan turut membabitkan pegawai atasan.

“Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) sendiri mengakui gejala rasuah bersistematik ini berlaku dan rangkaian kutipan wang biasanya membabitkan pegawai dari bawah sampai ke atas.

“Saya tidak menyebut kesemua pegawai peringkat atasan mempunyai masalah integriti, tetapi segelintir yang kemudiannya menjadi contoh tidak baik kepada anak buah,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sejak kelmarin SPRM sudah menahan 52 individu termasuk 40 pegawai JPJ, seorang anggota polis trafik dan seorang bekas anggota polis trafik, disyaki terbabit melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan di beberapa negeri.

Beliau menjelaskan, pegawai tinggi kerajaan perlu menunjukkan sikap ‘lebih putih daripada putih’ bagi memastikan agensi mereka bebas daripada sebarang salah laku.

“Apabila pegawai atasan atau ketua jabatan sendiri tidak bersih, bagaimana kita mahu melihat anak buah mereka bersih. Mereka inilah harus berperanan lebih untuk memastikan salah laku sedemikian tidak berulang,” katanya.

Sambil mengucapkan tahniah kepada SPRM kerana berjaya menumpaskan sindiket rasuah itu, Akhbar berkata, beliau sebenarnya terkejut apabila kes membabitkan pegawai JPJ masih berlaku sedangkan agensi itu baru sahaja dibelenggu dengan masalah rasuah yang sama.

Sementara itu, Pengarah Syarikat Penasihat Graymatter, Raymon Ram, berkata rangkaian rasuah membabitkan kedua-dua pihak iaitu pemberi dan penerima dalam kes itu perlu dikenal pasti dan dihapuskan.

“Walaupun SPRM menahan anggota JPJ, kita juga perlu mengenal pasti identiti pemberi sogokan dan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (liabiliti korporat) perlu digunakan kerana pihak pengarah dan pengurusan syarikat yang bertanggungjawab boleh dibawa ke mahkamah atas kecuaian dalam mengendalikan hal tadbir urus harian,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Transparency International Malaysia (TI-M), berkata kerajaan juga perlu membuat pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi memberikan perlindungan yang mencukupi terhadap mereka yang berada dalam sektor swasta.

“Jika mereka memberi maklumat secara dalaman tetapi tiada apa yang dilakukan oleh pihak pengarah atau pengurus, pemberi maklumat itu perlu diberi kebebasan untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa dan mendapat perlindungan yang diperuntukkan.

“Berdasarkan peruntukan ketika ini, jika aduan dibuat kepada sesiapa yang bukan pihak berkuasa terlebih dahulu, pemberi maklumat di sektor swasta tidak akan mendapat perlindungan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts