fbpx

Kejayaan Hakim Danish di Qatar luar jangkaan

Hakim Danish Ramli (kanan) menduduki tempat ketiga Pusingan 1 perlumbaan Asia Talent Cup di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, minggu lalu. - Foto: Nestia

KUALA LUMPUR: Pengurus Program SIC MiniGP, Zulfahmi Khairuddin menyifatkan kesungguhan dan pengorbanan pelumba cilik, Hakim Danish Ramli sejak tiga bulan lalu sudah membuahkan hasil diinginkan pada penampilan sulungnya di Asia Talent Cup (ATC).

Hakim yang memenangi kelas 160cc di SIC MiniGP tahun lalu, meraih dua penamat di tempat ketiga pada Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Losail, Qatar minggu lalu dan ia bagi Zulfahmi adalah sesuatu yang berada di luar jangkaannya.

“Kita bertuah kerana ada pelumba seperti Hakim Danish,” katanya yang juga pengurus pasukan ZK Racing yang mengendalikan SIC MiniGP bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC). “Dia memenangi kelas 160cc dan selepas itu kami mengambilnya untuk berlatih di litar Sepang.

“Dia langsung tak balik ke rumahnya di Terengganu sejak tiga bulan lalu. Daripada situ, kita tahu yang dia seorang pelumba sangat berdisplin, memberi sepenuh komitmen dalam latihan dan disebabkan itu, dia menunjukkan peningkatan dari hari ke hari.

“Sebelum ke Qatar, kami sudah membuat persediaan yang sangat mantap dan saya yakin Hakim Danish akan buat kejutan di Qatar tetapi tak sangka yang dia boleh berada di podium. Dia sudah menunjukkan potensi dengan meraih podium, bukan sekali tapi dua kali. Satu keputusan baik dan ia bagus untuk SIC MiniGP kerana mempunyai seorang juara yang beraksi di peringkat antarabangsa,”.

Hakim Danish, 14, menamatkan Perlumbaan 1 Sabtu lalu di tempat ketiga selepas bersaing sengit dalam perebutan tempat kedua bersama Gun Mie dari Jepun yang hanya dipisahkan 0.001 saat di garisan penamat.

Pelumba muda itu sekali lagi menunjukkan kemampuannya di Perlumbaan 2 dengan meraih keputusan sama namun kali ini diberi saingan oleh Kanta Hamada manakala Taiyo Furusato terus mempamerkan keunggulannya dengan memenangi kedua-dua perlumbaan.

Zulfahmi yang ketika ini sedang dalam pemilihan pelumba bagi edisi kedua SIC MiniGP berkata, dia sama sekali tidak menolak kemungkinan akan ada lagi bakat baharu ataupun ‘Hakim Danish kedua’ yang bakal diketengahkan menerusi program SIC MiniGP nanti.

“Bergantung kepada keadaan. Kadangkala ia sukar dijangka, kadangkala pelumba seperti datang daripada latar belakang keluarga yang unik. Mereka ada ‘kelaparan’ yang tidak ada pada pelumba lain.

“Saya agak terkejut dengan kejayaan Hakim Danish. Saya rasa daripada sekarang, saya akan berpegang kepada prinsip ‘lagi muda pelumba itu, lagi senang untuk dibentuk dan dilatih’. Saya yakin program MiniGP ini akan terus berjaya dan melahirkan pelumba berbakat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts