fbpx

Pesara jururawat kerugian RM10,800 ditipu Love Scam

JEMPOL: Seorang wanita yang juga pesara jururawat kerajaan, di sini, menjadi seorang lagi mangsa penipuan Love Scam sehingga mengalami kerugian sebanyak RM10,800.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata terdahulu mangsa berusia 54 tahun berkenalan dengan seorang individu dikenali sebagai Mohamed Ibrahim mendakwa warga Poland, melalui laman sosial Facebook pada Disember tahun lalu.

Beliau berkata, wanita terbabit dan individu tidak pernah ditemuinya itu kemudian menjalinkan hubungan secara maya sebagai pasangan kekasih.

“Mangsa turut dijanjikan pelbagai hadiah, termasuk beg tangan, kasut, baju, barang kemas dan duit daripada suspek.

“Suspek kemudian memberitahu mangsa kononnya sudah mengepos barangan dijanjikan tetapi gagal melepasi pemeriksaan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Chang Hook berkata, wanita terbabit dihubungi pihak mendakwa ejen penghantaran untuk menyelesaikan masalah berkenaan, sekali gus meminta mangsa membuat pembayaran.

Katanya, mangsa percaya akan perkara itu lalu membuat pembayaran menerusi satu akaun bank.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa mengesyaki diri ditipu apabila sekali lagi diminta untuk membuat pembayaran.

“Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bahau, semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa peka terhadap maklumat berkaitan jenayah kolar putih yang kerap berlaku ketika ini,” katanya.

Chang Hook berkata, orang ramai boleh membuat semakan menerusi https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan, selain mengikuti perkembangan terkini dalam Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts