fbpx

Ivan Tan pengerusi baharu Shell Malaysia

PETALING JAYA: Shell Malaysia telah melantik Ivan Tan sebagai Pengerusi Negara berkuat kuasa 1 April ini bagi menggantikan Datuk Iain Lo.

Syarikat minyak dan gas itu dalam satu kenyataan memberitahu, Iain akan bersara daripada syarikat tersebut setelah berkhidmat sebagai pengerusi selama lapan tahun dan bekerja di Shell selama 30 tahun.

“Ivan akan mengawasi semua perniagaan Shell Malaysia, selain peranannya sekarang sebagai presiden kanan dan pengarah urusan untuk perniagaan huluan di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Huluan Royal Dutch Shell, Wael Sawan mengucapkan penghargaannya kepada Iain atas kepimpinan, pengalaman dan komitmennya sepanjang kariernya bersama Shell.

“Kami menyambut baik kehadiran Ivan untuk menjadi pengerusi negara untuk Malaysia kerana kepintarannya dalam perniagaan selain mempunyai prestasi yang baik dalam kepimpinan dan keselamatan operasi.

“Kami yakin dengan pelantikan itu, Ivan akan mendorong peluang yang lebih banyak di Malaysia, selaras dengan strategi global kami,” jelasnya.

Ivan yang berasal dari Sarawak telah memulakan kariernya bersama Shell di Miri pada tahun 2001. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Imperial College dan MBA (Masters in Business Administration) dari Manchester Business School.

Pada tahun 2016, Ivan mengetuai integrasi teknikal perniagaan gas Shell dan British di Australia, sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Arrow Energy yang merupakan salah satu usaha sama Shell di negara ini.

Ivan bertanggungjawab untuk menyampaikan perkembangan kapasiti projek, telaga, pengurusan aset dan pasaran tenaga secara menyeluruh untuk perniagaan Arrow dalam industri gas asli.

Beliau juga merupakan ketua bersama dan presiden Penerokaan Gas Asli Queensland dan Forum Keselamatan Industri Pengeluaran.

Ivan kembali ke Malaysia pada Februari 2020 untuk mengambil posisinya sekarang dalam perniagaan huluan.

Sumber: UTUSAN ONLINE

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts